Friday 22 April 2016

50 terbunuh, dua serangan di Syria


beberapa orang penduduk yang cedera dalam serangan udara di sebuah
beberapa orang penduduk yang cedera dalam serangan udara di sebuah pasar di Maaret al-Numan di utara wilayah Idlib, kelmarin diletakkan di belakang sebuah trak pikap untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan . AFP
BEIRUT 20 April – Lebih 50 orang dilaporkan terbunuh dalam dua serangan udara dipercayai dilancarkan tentera kerajaan ke atas dua buah pasar di barat laut Syria, semalam ketika kumpulan penentang yang menghadiri rundingan damai di Geneva, menarik diri daripada mesyuarat itu selepas tiada perkembangan baharu.
Dalam serangan yang disifatkan paling buruk sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Februari lalu, sebuah jet dipercayai milik tentera kerajaan membedil sebuah pasar di bandar Maaret al-Numan mengorbankan lebih 40 orang.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, satu lagi serangan mengenai sebuah pasar ikan berhampiran bandar Kafranbel, mengorbankan lebih 10 orang.
Kedua-dua serangan itu berlaku di wilayah Idlib, yang dikuasai sekutu kumpulan militan al-Qaeda di Syria iaitu Barisan al-Nusra.
Seperti kumpulan militan Negara Islam (IS), Barisan al-Nusra tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata dan tentera kerajaan berterusan menggempur kawasan yang dikuasai kumpulan militan itu.
Kumpulan penentang utama di Syria, Jawatankuasa Tertinggi Rundingan (HNC) mengecam serangan di Maaret al-Numan dan menyifatkan pengeboman itu sebagai pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan jelas ke atas gencatan senjata.
“Serangan itu merupakan peningkatan keadaan berbahaya dan penghinaan terhadap masyarakat antarabangsa ketika gencatan senjata,” kata jurucakap HNC, Salem al-Meslet.
Serangan itu merupakan tindakan balas Presiden Syria Bashar al-Assad terhadap keputusan HNC menarik diri dalam rundingan damai.
“Keputusan kami menangguhkan penglibatan kami dalam rundingan di Geneva bagi menunjukkan kerajaan tidak ikhlas apabila melakukan keganasan ketika rundingan sedang dijalankan, dunia perlu menolak cara ini,” jelas Meslet. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/50-terbunuh-dua-serangan-di-syria-1.278333#sthash.CgtRQHw8.dpuf

40,000 rakyat Syria melarikan diri


Gambar bertarikh 14 April lalu merakamkan sebuah keluarga Syria

Gambar bertarikh 14 April lalu merakamkan sebuah keluarga Syria mengangkat barangan mereka di atas troli untuk dibawa ke atas sebuah bas di bandar Palmyra di wilayah Homs, sebelum meninggalkan bandar purba itu selepas tentera Syria berjaya menawan semula bandar berkenaan daripada kumpulan militan Negara Islam (IS). AGENSI
DAMSYIK 21 April - Kira-kira 40,000 orang penduduk Syria melarikan diri dari bandar Aleppo selepas tentera kerajaan memperhebatkan serangan ke atas kumpulan pemberontak sejak beberapa hari lalu, walaupun kedua-dua pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata.
Menurut kenyataan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), keganasan yang semakin meningkat itu memaksa penduduk meninggalkan bandar berkenaan dan menuju ke pekan Azaz serta dua buah kem pelarian iaitu Bab al-Salam dan Sijjou yang terletak di kawasan sempadan.
“Pekan Azaz menampung lebih 75,000 orang pelarian sejak Januari lalu dan kehadiran kumpulan baharu itu nanti akan mencetuskan situasi kemanusiaan yang lebih buruk,” jelas kenyataan itu seperti dilaporkan portal Al Jazeera.
Agensi kemanusiaan dikerah untuk mengagih-agihkan bantuan termasuk selimut dan makanan kepada beribu-ribu pelarian selain bersedia untuk menghadapi gelombang pelarian yang lebih ramai.
Pertubuhan perubatan, Doctors Without Borders (MSF) berkata, ketika ini lebih 100,000 orang terperangkap di beberapa kawasan di Syria yang bersempadan dengan Turki manakala kira-kira 35,000 orang penduduk melarikan diri dari kem berkenaan sejak minggu lalu disebabkan ancaman militan Negara Islam (IS).
Tindakan Turki menutup sempadan juga memburukkan lagi keadaan walaupun penduduk yang sakit atau cedera dibenarkan memasuki negara tersebut.
Sementara itu, Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, misi kemanusiaan untuk memindahkan beratus-ratus penduduk yang cedera dan terperangkap di beberapa bandar di Syria telah dijalankan sejak semalam, walaupun rundingan damai terencat ekoran kerapuhan perjanjian gencatan senjata.
“Proses pemindahan itu melibatkan bandar-bandar di Madaya, Zabadani, Fuaa dan Kafraya dengan membabitkan kira-kira 500 orang penduduk yang sakit dan cedera,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/40-000-rakyat-syria-melarikan-diri-1.283295#sthash.2xlqLL2p.dpuf