Thursday, 3 September 2015

10 maut serangan bom kereta di Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 11:53 PM


DAMSYIK: Sepuluh maut manakala berpuluh yang lain cedera selepas insiden pengeboman kereta di Latakia, Syria, kubu kuat bahagian pesisir pantai Presiden Bashar al-Assad, semalam.

Agensi berita SANA melaporkan, pengganas meletupkan kereta sarat dengan bahan letupan pada tengah hari (0900 GMT) di dataran Hamam di Latakia.

Difahamkan, letupan itu turut mencederakan 25 yang lain dan menyebabkan kerosakan teruk kereta serta bangunan berdekatan.

Televisyen kerajaan memaparkan rakaman kereta musnah dengan tingkap pecah ketika anggota bomba memadam kebakaran.

Latakia adalah kawasan minoriti puak Alawiah, keturunan Assad. Namun, puak itu jarang terbabit dengan keganasan yang memusnahkan Syria sejak kebangkitan menentang rejim tercetus pada Mac 2011.

SANA melaporkan, pegawai rasmi menemui dua kereta penuh dengan bahan letupan dan menahan mereka yang bertanggungjawab. -AFP