Friday, 3 October 2014

39 angkat senjata


Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan
Putrajaya: Sekurang-kurangnya dua atau tiga wanita warga Malaysia disahkan terbabit dalam kegiatan militan luar negara, khususnya Syria.

Penolong Setiausaha Kanan (Keselamatan dan Ketenteraman) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, pihaknya juga mengenal pasti 39 rakyat negara ini yang ‘mengangkat senjata’ atas alasan berjihad menentang musuh Islam di Syria.


“Ini jumlah yang kita kenal pasti setakat ini dan kita tak tahu jumlah sebenar rakyat negara kita yang terbabit dalam kegiatan militan. Kita sedang pantau sejauh mana pengaruh dan cubaan mereka untuk menyebarkan semangat jihad ini.

“Ia satu gerakan yang menjadi ancaman secara tidak sedar kerana rekod menunjukkan mereka yang terbabit berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun,” katanya ketika memberi taklimat isu semasa, di sini, semalam.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang doktor wanita dari Malaysia mengakui menganggotai pasukan militan Daulah Islamiah (IS) dan berkahwin dengan rakan anggota pasukan itu pada Februari lalu.


Berdasarkan laporan portal berita luar negara, BuzzFeed News, wanita itu yang memperkenalkan diri sebagai Shams mengaku berasal dari Malaysia selepas ditanya beberapa rakan Twitternya dan mendakwa boleh bertutur dalam bahasa Urdu serta Hindi.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Misi lupus senjata kimia Syria selesai


3 Oktober 2014


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Misi antarabangsa untuk memusnahkan bekalan senjata kimia milik  Syria dilaporkan sudah selesai sepenuhnya.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric mengesahkan misi mereka bersama Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) telah berjaya walaupun berdepan pelbagai halangan selama hampir setahun.

Difahamkan, OPCW akan terus memantau perkembangan tersebut untuk memastikan Syria mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang telah diterima pakai pada September tahun lalu, dipetik dari laporan Press TV.

41 kanak-kanak maut dalam serangan bom di Homs


AFP - BEBERAPA pegawai perubatan sedang memberi bantuan kepada seorang kanak-kanak yang cedera dalam satu serangan bom di sebuah sekolah di Homs.


HOMS, Syria – Seramai 41 kanak-kanak terbunuh dalam satu serang­an bom di sebuah sekolah milik kerajaan di bandar ini kelmarin.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria berkata, semua kanak-kanak berusia bawah 12 tahun itu merupakan antara 48 mangsa yang maut dalam serangan bom di kawasan kejiranan Akrameh di sini.
“Sekurang-kurangnya 41 kanak-kanak maut selepas dua butir bom meletup di Sekolah al-Makhzumi dan jumlah itu mungkin mening­kat kerana ramai lagi masih hilang.
“Tujuh lelaki dewasa yang terdiri daripada empat orang awam dan tiga askar antara mangsa yang terkorban,” kata pegarah kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Menurutnya, serangan tersebut dilancarkan oleh seorang lelaki yang meletupkan sebutir bom di satu bahagian sekolah berkenaan sebelum meletupkan dirinya di bahagian lain.
Satu laman Facebook prokerajaan memaparkan beberapa gambar selepas serangan tersebut yang menunjukkan mayat beberapa kanak-kanak dan beg-beg sekolah bertaburan di lokasi kejadian.
Beberapa penduduk juga dilihat membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan.
Seramai 191,000 penduduk di Syria dilaporkan terbunuh dalam perang saudara di negara itu yang tercetus selepas rakyat bangun menentang pemerintahan Presi­den Bashar al-Assad. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3F1qbilHX 
Hakcipta terpelihara