DAMSYIK: Kegembiraan jelas terpancar di wajah beratus-ratus kanak-kanak di wilayah Aleppo, Syria apabila buat kali pertama dapat bermain di luar rumah susulan gencatan senjatan antara kerajaan dan kumpulan penentang berkuatkuasa sejak Isnin lalu.
Berpuluh-puluh kanak-kanak memenuhi taman permainan yang hampir musnah sepenuhnya dan bermain di kawasan runtuhan bangunan selain meluangkan masa berbual bersama rakan sebaya.
Bagi kebanyakan kanak-kanak yang membesar dalam suasana peperangan, itulah perkara pertama yang mereka akan lakukan apabila mempunyai sedikit peluang untuk bermain di luar rumah.
Detik-detik bermakna itu sempat dirakamkan oleh agensi berita AFP dan Reuters sejak hari pertama sambutan Aidiladha di pekan Hamouria yang dikuasai kumpulan penentang.
Golongan kecil itu tidak melepaskan peluang untuk bermain buaian, menunggang kuda, berlari di jalanan dan mengayuh basikal.
Dalam perkembangan lain, konvoi bantuan antarabangsa terkandas di sempadan Tukri-Syria ekoran berdepan masalah untuk memasuki wilayah Aleppo yang dihuni 300,000 penduduk berdepan krisis kemanusiaan yang teruk.
Sebanyak 20 buah lori yang penuh dengan bekalan makanan dan perubatan terpaksa menangguhkan perjalanan bagi memastikan laluan mereka selamat sepenuhnya.
Misi kemanusiaan itu sepatutnya selesai dilaksanakan pada Rabu selepas gencatan senjata dilanjutkan selama 48 jam lagi hasil persetujuan Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan penentang dan tentera kerajaan juga mencapai persetujuan untuk berundur secara berperingkat dari bandar Aleppo bagi membuka laluan kepada konvoi antarabangsa yang dijangka tiba seawal Khamis.