SELASA, 13 OKTOBER 2015 @ 9:12 AM
BEIRUT: Tentera regim Syria dibantu serangan udara Russia terbabit dalam pertempuran hebat dengan kumpulan penentang pada Isnin. Pada masa sama, tentera pakatan diterajui Amerika Syarikat (AS) menggugurkan peluru dan persenjataan kepada kumpulan pejuang di utara negara itu yang dikatakan berjuang menentang militan Negara Islam (IS). Seorang pegawai berkata, bantuan yang disalurkan tentera AS semalam termasuk 50 tan peluru. Dalam konflik yang kompleks membabitkan beberapa negara asing, Moscow pada hujung bulan lalu memulakan serangan udara bagi menyokong regim Presiden Bashar al-Assad menentang musuhnya yang digelar Moscow sebagai 'pengganas'. Washington dan Eropah menuduh Moscow menyasarkan kumpulan 'sederhana' yang menentang regim Bashar, bukannya IS. Bagi AS, menamatkan regim pimpinan Bashar adalah kunci ke arah menamatkan perang saudara yang sudah berlarutan selama empat tahun di Syria. Pada Isnin, para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) mendesak Russia menamatkan serangan terhadap pejuang bukan IS manakala wakil keamanan PBB ke Syria akan ke Moscow untuk merumus mandat politik bagi menamatkan konflik di negara itu. Moscow berkata, tentera udaranya menyerang 53 sasaran di Syria dalam tempoh 24 jam lalu di empat wilayah - Hama, Homs, Lakatia dan Idlin yang didakwanya berjaya memutuskan rantaian bekalan IS. Dalam pada itu, AS berkata tentera bersekutu menggugurkan senjata kepada Kesatuan Arab Syria (SAC) yang berjuang menentang militan IS di kubu kuat mereka di Raqqa sejak beberapa bulan lalu. - AFP
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/88592
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/88592