ORANG ramai melarikan diri daripada keganasan di Aleppo. - AFP
Moscow: Tentera Russia berkata, ia membantu memindahkan 8,000 orang awam dari timur Aleppo yang masih dikuasai puak penentang.
Pusat Perdamaian Syria Russia berkata, 8,461 orang awam termasuk 2,934 kanak-kanak dipindahkan dari kejiranan di timur bandar itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Katanya, 14 pejuang penentang menyerah diri dan diampunkan.
Sebelum itu, Menteri Luar Russia Sergey Lavrov berkata, tentera Syria menghentikan seketika operasi di Aleppo bagi membolehkan pemindahan orang awam.
Bagaimanapun, semalam, tentera rejim dan sekutunya dilaporkan masih melancarkan serangan di timur
Aleppo yang semakin jatuh ke tangan tentera Presiden Bashar al-Assad.
Sementara itu, seorang pentadbir hospital di kawasan itu berkata, kakitangan perubatan menyerahkan senarai nama pesakit yang perlu dipindahkan segera, namun tiada maklum balas.
“Kami masih menunggu maklum balas dan sementara itu masih dibelenggu ketakutan kerana serangan tetap diteruskan,” katanya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:37 AM