Sunday, 2 October 2016

Rusia beri amaran tegas


2 OKTOBER 2016
Rusia beri amaran tegas

Rusia beri amaran tegas Seorang wanita merangkul mayat bayinya yang terbunuh dalam serangan udara di kawasan al-Muasalat di utara Syria, 23 September lalu.
MOSCOW - RUSIA. Kerajaan Rusia memberi amaran keras terhadap sebarang 'pencerobohan langsung' oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Kerajaan Syria atau tentera yang akan membawa 'ketakutan dan anjakan tektonik' di Timur Tengah.

Kenyataan itu dikeluarkan jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova, semalam selepas Washington mula mempertimbangkan respons lebih tegas terhadap krisis meruncing di Aleppo termasuk pilihan tentera.

Terdahulu, Jabatan Negara AS memberi amaran ia mungkin mempertimbangkan untuk menggantung 'penglibatan dua hala' di Damsyik melainkan Moscow mengambil langkah segera untuk menghentikan serangan di wilayah bergolak itu.

Minggu lalu, portal berita Middle East Eye memetik sumber rapat kepada militan menyatakan AS seboleh-bolehnya mahu mengelakkan kejatuhan Aleppo.

Ketika ini, Rusia dilihat menjadi penyokong kepada kerajaan untuk membebaskan Aleppo daripada cengkaman kumpulan militan Daesh.

Manakala, AS menyokong kumpulan pejuang sederhana yang berjuang untuk menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad selain melancarkan serangan udara menyasarkan kedudukan dan kubu kuat Daesh. - Reuters

Trauma si kecil



KANAK-KANAK itu dibawa ke hospital bersama beberapa yang lain selepas rumahnya menjadi sasaran serangan udara. - MailOnline



Agensi
Aleppo (Syria): Video budak kecil yang trauma dan enggan melepaskan pelukan jururawat yang merawatnya selepas rumahnya dibedil serangan udara di Aleppo disiarkan Persatuan Perubatan Amerika Syria (SAMS) untuk menunjukkan keperitan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang negara itu.

Kanak-kanak berusia sekitar 2 tahun itu nyata trauma dan menangis tidak berhenti selepas dibawa ke hospital bersama keluarganya yang terselamat dalam kejadian itu selain tidak mahu berpisah dengan jururawat lelaki yang merawatnya.

“Rumahnya terkena serangan udara - kami tidak tahu sama ada ia oleh tentera Syria atau Russia.

“Inilah nasib kanak-kanak Syria setiap hari. Inilah seksaan dihadapi mereka,” kata laman web SAMS menggunakan #ChildrenOfSyria.

Katanya, 13 kematian direkodkan semalam dan lebih 40 orang cedera termasuk kanak-kanak. Lebih teruk lagi, cuma 29 doktor tinggal di timur bandar itu.

Jururawat, Mohamed Abu Rajab berkata: “Kehidupan di Aleppo semakin tidak dapat digambarkan menggunakan video atau tulisan.

“Aleppo dilupakan, diabaikan. Hospital tidak cukup kakitangan, doktor pakar dan perubatan,” katanya.

Sementara itu, semalam, hospital terbesar di timur Aleppo dibedil sekurang-kurangnya dua bom tong, hanya beberapa hari selepas dibedil serangan udara pada Rabu lalu.

Kejadian semalam dikecam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon sebagai jenayah perang.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:13 AM

PBB siasat konvoi makanan dibom






AGENSI - SEBUAH trak yang membawa muatan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan hangus selepas dibom oleh pesawat tentera di Aleppo, Syria pada 19 September lalu.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Setia­usaha Agung PBB, Ban Ki-moon kelmarin mengumumkan penubuhan sebuah lembaga siasatan untuk menyiasat serangan bom ke atas konvoi makanan di Syria.

Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh ketika konvoi berkenaan membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk di bandar Aleppo pada minggu lalu.

Beberapa pegawai Amerika Syarikat mendakwa beberapa pesawat Rusia telah melancarkan serangan udara pada 19 September lalu menyebabkan bedilan itu terkena ke atas 31 trak konvoi yang turut membawa makanan dan ubatan.

Konvoi itu dipercayai membawa bantuan kemanusiaan ke barat bandar Aleppo yang dikepung oleh tentera Syria.

“Panel dalaman PBB akan menentukan fakta kejadian dan melaporkan kepada Ki-Moon yang akan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya,” kata PBB dalam satu kenyataan.

PBB telah memberi amaran bahawa serangan ke atas konvoi bantuan adalah satu bentuk jenayah perang.

Ketua Bantuan PBB, Stephen O’Brien memberitahu Majlis Keselamatan pada Khamis lalu bahawa lokasi konvoi ber­kenaan telah ditandakan PBB dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab sebagai zon pembunuhan.

Malah, serangan ke atas konvoi di Urum al-Kubra itu telah meragut nyawa Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Arab, Omar Barakat termasuk 12 sukarelawan dan lima pemandu trak.

Sementara 15 pemandu lain cedera dan kebanyakan orang awam juga ce­dera selain terbunuh.

Sebuah gudang yang terletak berdekatan sebuah klinik turut musnah. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LsCHsyPr
Hakcipta terpelihara