29 OKTOBER 2016
MOSCOW - RUSIA. Kerajaan Rusia menafikan terlibat dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah sekolah di Syria, 26 Oktober lalu dan menolak siasatan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa sekutunya di Damsyik menggunakan senjata kimia.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menuntut siasatan segera dilakukan ke atas serangan terhadap sebuah sekolah Rabu lalu, di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak, sambil menyatakan sekiranya serangan itu disengajakan, ia boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Tentera Rusia yang menyertai pertempuran di Syria sejak September tahun lalu menafikan terlibat dalam serangan mengakibatkan 22 pelajar dan enam guru terbunuh, berdasarkan laporan agensi Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
"Persekutuan Rusia tidak terlibat dalam serangan ataupun tragedi buruk itu," kata jurucakap Menteri Luar, Maria Zakharova yang juga mendakwa laporan pesawat pejuang Rusia dan Syria melancarkan serangan adalah satu penipuan selain penafian Menteri Pertahanan Rusia.
"Pada 26 Oktober lalu, tidak ada satu pun pesawat Rusia memasuki kawasan itu," kata jurucakap Menteri Pertahanan, Igor Konashenkov. - Reuters