Monday 8 September 2014

53 terkorban serangan udara di Syria


Kepulan asap dari sebuah kawasan yang menjadi sasaran serangan udara tentera Syria di pasar Tal Abyad di tengah Raqqa, kelmarin. - AGENSI
BEIRUT 7 Sept. - Seramai 53 orang terkorban, termasuk 31 orang penduduk tempatan dalam lapan serangan udara yang dilancarkan tentera Syria ke atas kedudukan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Raqqa.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, antara yang terbunuh ialah lima orang wanita, tiga kanak-kanak dan lapan orang daripada sebuah keluarga.
Seramai 15 anggota IS turut disahkan maut, termasuk tujuh yang lain yang tidak dikenali akibat serangan udara yang dilancarkan tentera Presiden, Bashar al-Assad yang menjadikan kedudukan militan IS di utara dan timur Syria sebagai sasaran.
Tentera kerajaan, semalam turut menyerang bangunan yang dipercayai digunakan sebagai mahkamah Islam IS serta kem latihan kumpulan militan tersebut.
Dalam perkembangan lain, badan pemerhati tersebut turut melaporkan 15 orang terbunuh akibat serangan udara tentera Syria di kawasan yang ditawan IS di bandar Aleppo pada Jumaat lalu.
Di Damsyik tentera kerajaan yang turut dibantu pejuang pergerakan Hezbollah merampas semula kampung Hteitet Jarash daripada penguasaan kumpulan militan itu.
Kampung itu yang terletak berdekatan bandar Mleiha merupakan benteng kumpulan militan IS yang dikepung tentera selama lebih setahun. - AFP


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd