Moscow: Moscow dan Damsyik menandatangani perjanjian yang tidak mengehadkan tempoh berundur tentera Russia dari negara itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107737#sthash.dSq7nNEE.dpuf
Russia berkata, perjanjian itu ditandatangani di Damsyik pada 26 Ogos 2015, lebih sebulan sebelum Russia melancarkan kempen serangan terhadap kumpulan Negara Islam (IS) dan ‘pengganas’ lain atas permintaan Presiden Bashar al-Assad.
Kerajaan Russian kelmarin mendedahkan teks perjanjian berkenaan yang tidak meletakkan sebarang had waktu bagi tenteranya berada di negara yang dilanda perang itu.
Menurut perjanjian itu, Russia akan menempatkan pesawat pengebom dan askar di pangkalan tentera Hmeimim di Latakia, kawasan yang dikuasai tentera yang setia kepada Bashar.
Perjanjian itu bagi mempertahankan ‘kedaulatan, keutuhan wilayah dan keselamatan Persekutuan Russia serta Republik Arab Syria.’
Presiden Vladimir Putin berkata, kempen yang dilancarkan pada September itu - serangan pertama Russia di negara asing sejak Afghanistan pada 1979 - wajar kerana Moscow perlu menyasarkan pejuang Negara Islam (IS) sebelum mereka memasuki negaranya.
Penganalisis tentera Alexander Golts berkata, perjanjian itu sesuai dengan kepentingan Russia.
“Russia boleh menghentikan operasinya bila-bila masa, tidak terikat kepada Syria.
“Namun pada masa sama, ia boleh terus berada di situ selagi ia mahu. Semuanya bergantung kepada Russia sendiri,” katanya.
Barat mengkritik pembabitan Russia dalam perang berkenaan dengan menuduhnya bukan saja menyasarkan IS, tetapi juga penentang Bashar yang berhaluan sederhana.
Moscow menafikan dakwaan itu, sebaliknya menegaskan menyokong penentang Bashar yang memerangi IS.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:51 AM