PENUNJUK perasaan anti-Huthi mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan sokongan kepada Presiden Yemen, Abd Rabbuh Mansur Hadi di Sanaa pada 23 Februari lalu. – REUTERS
SANAA 24 Feb. - Presiden Yemen, Abd Rabbuh Mansur Hadi secara rasmi hari ini menarik kembali peletakan jawatannya sebagai ketua negara ini selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan keselamatan dan gabenor wilayah Aden.
Menurut laman web berita Alhadath-Yemen, Abd Rabbuh sudah menghantar surat rasmi berhubung keputusannya menarik balik peletakan jawatannya itu ke Parlimen, hari ini.
Abd Rabbuh dalam surat itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas melihat situasi semakin meruncing di selatan dan utara negara ini yang memerlukan tindakan pemulihan segera.
Kelmarin, Abd Rabbuh bertindak membatalkan segala keputusan dan ketetapan yang telah diambil oleh pemberontak Huthi ketika memegang tampuk kerajaan buat sementara waktu.
“Semua keputusan dan langkah-langkah yang diambil sejak 21 September lalu adalah tidak sah dan sudah dibatalkan,” jelas Abd Rabbuh dalam satu kenyataan.