Seorang wanita yang menyertai kumpulan penentang daripada batalion dikenali sebagai 'ibu Aisha' menjalani latihan menggunakan senjata daripada seorang anggota lelaki di daerah Salaheddin, Aleppo, kelmarin. - REUTERS
LONDON 20 Sept. - Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil berkata, perang saudara di negara itu kini menemui jalan buntu, dengan kedua-dua pihak tidak mempunyai kekuatan untuk mengalahkan antara satu sama lain.
Menurutnya, ekonomi Syria juga mengalami kerugian kira-kira AS$100 bilion (RM316 bilion) akibat perang saudara yang berlanjutan lebih dua tahun itu.
"Kedua-dua pihak kini tidak berupaya untuk memenangi perang tersebut dan keadaan ini akan berlanjutan untuk beberapa lama lagi," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar Britain, Guardian yang disiarkan semalam.
Jamil turut mendedahkan tentang apa yang diinginkan oleh kerajaan pimpinan Bashar al-Assad dalam sidang yang dijadual diadakan di Geneva, Switzerland.
Katanya, Syria akan menuntut supaya campur tangan asing dihentikan dalam konflik di Syria, satu gencatan senjata dilaksanakan dan memulakan proses politik secara aman bagi membolehkan rakyat negara itu menentukan hala tuju mereka sendiri tanpa campur tangan luar.
"Jika rundingan damai Geneva yang telah lama tertangguh disambung semula, kerajaan Syria akan mengusulkan perkara tersebut, termasuk gencatan senjata yang akan dipantau oleh tentera dari negara-negara berkecuali," ujarnya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 100,000 orang terbunuh dalam konflik di Syria, manakala berjuta-juta lagi menjadi pelarian dalam konflik berdarah di Syria.
Sementara itu, anggota al-Qaeda dan kumpulan penentang Syria memeterai perjanjian sementara hari ini selepas dua hari bertempur berhampiran sempadan Turki.
Anggota kumpulan al-Qaeda dari Iraq apda Rabu lalu membunuh sekurang-kurangnya lima anggota Briged Gempur Utara, yang merupakan penentang Syria yang mengusai sempadan tersebut dan berlanjutan sehingga semalam. - DPA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130921/lu_07/Konflik-di-Syria-kini-temui-jalan-buntu#ixzz2fUy5VRh2
© Utusan Melayu (M) Bhd