Friday, 27 November 2015

Tiada amaran dari Turki

Tiada amaran dari Turki
PENUNJUK PERASAAN BERKUMPUL DI HADAPAN KEDUTAAN TURKI DI MOSCOW KELMARIN, BAGI MENGECAM TINDAKAN ANKARA MENEMBAK JATUH DUA JET TEMPUR RUSIA.

"Tiada sebarang amaran sama ada melalui radio atau visual. Peluru berpandu menghentam pesawat kami secara tiba-tiba dan kami tidak sempat mengelaknya," kata Kosntantin Murakhtin.
Dalam kejadian kelmarin, dua pesawat Su-24 milik Rusia ditembak jatuh pada ketinggian 6,000 meter kerana didakwa menceroboh dan terbang di atas ruang udara Turki.
Murakhtin terselamat bagaimanapun rakannya terbunuh dalam nahas tersebut.
Turki sebelum ini mempertahankan tindakan pesawat F-16 negara itu menembak jatuh pesawat Rusia berkenaan selepas memberi 10 amaran dalam masa lima minit sebaik pesawat dikesan menceroboh ruang udara.
Rusia sebaliknya menegaskan kejadian itu sebagai satu perbuatan provokasi terancang, lapor Reuters.

Syria bagaikan 'pawagam peperangan'


Syria

Bagaikan 'pawagam peperangan'.

PEPERANGAN saudara di Syria tercetus pada 2011 apabila Presiden Syria, Bashar al-Assad mengarahkan supaya aktivis pro-demokrasi dibunuh.
Jumlah penyokong atau 'rekrut' aktivis kemudian bertambah, seiring dengan pertembungan bersenjata antara aktivis atau militia dengan angkatan tentera rejim.
Beberapa cabang Syiah yang membenci Sunni pula mengambil kesempatan apabila Hezbollah yang disokong oleh Iran mula mengangkat senjata dan menentang milita.
Cabang Al-Qaeda, al Nusra Front pula bangun menentang militan IS.
Askar Kurdis juga bangkit menentang IS, tentera rejim Bashar dan Turki.
Turki juga tidak terkecuali menghalang kebangkitan IS, diselang-seli dengan pertembungan dengan Kurdis sambil menolak dan mahu menjatuhkan Bashar.
Amerika Syarikat (AS) dan perikatan anti-IS termasuk dari Arab juga menggerakkan jentera perang mereka, termasuk Rusia yang mahu menyelamatkan rejim Bashar juga mula mengebom IS.
Perancis memulakan kempen pengeboman lokasi dan markas militan IS kurang 10 hari lalu selepas serangan di Paris yang mengorbankan 150 orang awam.
Kelmarin, Turki menembak jatuh jet pejuang Rusia selepas jet berkenaan didakwa mencerobohi ruang udara Turki.
Bagaikan pawagam peperangan (theater of war), Syria menjadi pentas pelbagai pihak untuk mempamerkan kerakusan, kecanggihan teknologi dan kehebatan jentera perang masing-masing.
Walupun kemunculan Rusia untuk menjaga hubungannya sebagai 'rakan baik' Syria, kempen yang dimulakan Presiden Rusia, Vladimir Putin juga disyaki mempunyai agenda untuk memburukkan reputasi AS di Timur Tengah.
Bagaikan Perang Dunia, pentas peperangan di Syria menunjukkan hubungan persahabatan yang pelik, agenda tersembunyi dan pembentukan perikatan-perikatan.
Sementara pelbagai negara berlumba-lumba menumpukan perhatian ketenteraan mereka ke Syria, militan IS pula sudah menghantar agen-agen mereka ke Eropah untuk 'membuka cawangan'.
Militan IS bukan sahaja menguasai sebahagian Syria dan Iraq, malah mempunyai pengikut dan kumpulan militan tempatan yang setia di Libya, semenanjung Sinai, Nigeria dan beberapa tempat di Afrika.
Hampir sepuluh ribu lagi kumpulan-kumpulan ekstremis kecil di Afghanistan, Pakistan Algeria juga membentuk perikatan bersama-sama IS.
Serangan pengganas secara individu atau berkumpulan bukan setakat berlaku di Syria, Iraq, Lebanon atau Turki, tetapi juga berlaku di Kanada, Perancis, Australia, Nigeria, Denmark dan tempat-tempat lain.
Adakah ini Perang Dunia?
Terma 'Perang Dunia' merujuk kepada dua konflik mega yang terjadi pada abad ke-20 yang lalu, cuma kali ini AS 'enggan terlibat secara langsung' manakala pendapat dunia awam pula adalah, 'ini bukan perang kami'.
Jadi, adalah mustahil untuk memberikan takrif sebenar kepada analogi 'Perang Dunia'.

Moscow lancar serangan udara besar-besaran di Syria



SEBUAH pesawat Sukhoi Su-24 mendarat di pangkalan udara Hmeymim selepas menyertai operasi ketenteraan di Latakia, Syria pada 7 November lalu. - REUTERS


BEIRUT – Jet pejuang Rusia melancarkan serangan udara besar-besaran di wilayah Latakia, utara Syria kelmarin, sehari selepas Turki menembak jatuh sebuah jet milik Moscow di lokasi berkenaan, kata sebuah badan pemantau.
Beberapa jet pejuang milik Rusia turut melancarkan serangan berhampiran sempadan Turki di wilayah Aleppo, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan menyebabkan beberapa trak yang membawa bantuan dan barangan lain terbakar, jelas kumpulan aktivis tersebut.
“Beberapa jet pejuang Rusia telah melancarkan serangan besar-besaran sejak malam semalam (kelmarin) di Jabal Akrad dan Jabal Turkman di utara wilayah Latakia,” kata Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.
Beliau berkata, jet-jet pejuang Rusia melakukan sekurang-kurangnya 12 serangan di kawasan tersebut sejak pagi hari yang sama tetapi belum ada maklumat tentang mangsa yang terbunuh.
Seorang aktivis media di tempat kejadian mengesahkan serangan tersebut yang dilaporkan tertumpu sekitar kawasan Jabal Nuba di mana kumpulan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad memusnahkan sebuah helikopter Rusia yang terpaksa membuat pendaratan cemas selepas terkena tembakan pemberontak pada Selasa lalu.
Seorang kru helikopter itu terbunuh, manakala selebihnya berjaya diselamatkan.
Stesen televisyen Syria serangan udara turut mengesahkan berhubung serangan udara Rusia tersebut.
Sejak beberapa hari lalu, tentera Syria bertempur sengit dengan kumpulan pemisah utara wilayah tersebut dan mulai mara ke kawasan Jabal Akrad dan Jabal Turkman. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3sde3xovw 
Hakcipta terpelihara 

Rusia hantar peluru berpandu dekat Turki


SEBUAH trak membawa sistem peluru berpandu S-400 milik Rusia dalam satu perarakan tentera di dataran Red Square, Moscow. - Agensi


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan supaya sistem pertahanan udara di hantar ke utara Syria dan memberi amaran kepada pelancong agar tidak melawat Turki ketika beliau mencari jalan untuk membalas dendam berikutan sebuah jet pejuang Moscow ditembak jatuh oleh Ankara, lapor akhbar Independent semalam.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, Moscow tiada niat untuk berperang dengan Turki tetapi menyifatkan serangan itu satu provokasi terancang.
Rusia terus mempamerkan kekuatan tenteranya dengan mengerahkan sebuah kapal peluru berpandu bergerak ke perairan Latakia, utara Syria. Lokasi itu terletak berdekatan dengan sempadan Turki.
Moscow turut menghantar sistem pertahanan udaranya yang paling canggih, S-400 ke sebuah pangkalan udara Syria yang terletak kira-kira 48 kilometer dari sempadan Turki. Peluru berpandu S-400 mempunyai jarak sejauh 400 kilometer dan dengan mudah dapat menyerang sasaran di Turki.
Terdahulu, Turki yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara menegaskan bahawa pihaknya mengeluarkan sebanyak 10 amaran dalam tempoh lima minit sebelum menembak jatuh pesawat Sukhoi-24 milik Rusia itu.
Satu rakaman audio yang disiarkan media Turki memaparkan tentera negara itu sebagai berkata: “Ini tentera udara Turki bercakap. Berjaga-jaga kerana kamu menghampiri ruang udara Turki.”
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, negaranya tidak mengetahui kewarganegaraan pesawat yang ditembak jatuh itu sehingga Moscow mengumumkan jet itu milik Rusia.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula menepis dakwaan Rusia bahawa pesawat itu sedang dalam misi antikeganasan apabila ditembak.
“Jangan memperbodohkan diri sendiri kerana tiada pejuang kumpulan Islamic State di kawasan yang diserang (jet Sukhoi-24 tersebut),” kata Erdogan.
Menjelang insiden tersebut pada 24 November lalu, pesawat-pesawat Rusia berterusan melancarkan serangan di wilayah Latakia yang menjadi medan pertempuran sengit.
Tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad yang disokong oleh militan Iran dan Rusia bertempur dengan pejuang Turkmen yang berbangsa Turki dengan sokongan Ankara.
Militan Turkmen merupakan sebahagian daripada kumpulan penentang Bashar yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sddXj4rg 
Hakcipta terpelihara 

Pelarian Syria balas jasa rakyat Jerman


Edar makanan percuma kepada gelandangan

BERLIN 26 Nov. - Kebimbangan yang disuarakan negara Eropah terhadap kebanjiran pelarian dari Asia Barat bukan penghalang bagi seorang pelarian Syria untuk mengucapkan rasa terima kasih dengan cara tersendiri kepada negara yang memberi perlindungan kepadanya.
Alex Assali mengedarkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di Berlin, Jerman sebagai membalas jasa kerajaan dan rakyat negara itu kerana memberi perlindungan kepadanya sebagai seorang pelarian dari Syria. AGENSI
Menurut laporan portal Mail Online, Alex Assali, seorang pela­rian Syria yang berasal dari Damsyik, mendapat perlindungan di Jerman sejak 2007 selepas dia diburu kerana mengkritik kerajaan pimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Namun sejak menetap di Jerman, Assali bijak mengambil ke­sempatan untuk melahirkan rasa terima kasih terhadap negara Eropah ini apabila mengedarkan makanan percuma kepada golongan gelandangan di luar Stesen Kereta Api Alexanderplatz di Berlin pada setiap hari Sabtu.
Malah dia turut meletakkan papan tanda berbunyi, ‘Membalas jasa rakyat Jerman’, di depan pusat pengedaran makanan itu sehingga menarik perhatian ramai pihak termasuk pengguna sosial.
Selain itu, papan tanda ber­kenaan turut menjelaskan tujuan kebajikan tersebut dilakukan sebagai satu cara membantu golongan gelandangan dan pihak yang memerlukan di Jerman.
“Kami mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat Jerman dengan cara yang positif.
“Objektif kami adalah untuk membalas semula jasa kepada rakyat yang membantu kami,” jelas papan tanda itu.
Gambar Assali sedang mengedarkan makanan kepada gelandangan tersebar dalam laman sosial Imgur, sekali gus mendapat reaksi positif orang ramai.
“Assali menunjukkan kemanusiaan yang sebenar,” kata seorang pengguna media sosial tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pelarian-syria-balas-jasa-rakyat-jerman-1.162758#sthash.V2ESTXFm.dpuf

Rusia serang kawasan penentang Syria


Lancar bedilan ke lokasi juruterbangnya ditembak mati
27 November 2015 1:06 AM



MOSCOW 26 Nov. - Tentera Rusia melancarkan serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai kumpulan penentang Syria berdekatan sempadan Syria-Turki yang menjadi lokasi jet pejuang Sukhoi Su-24 ditembak jatuh oleh tentera Turki baru-baru ini.
Portal Mail Online melaporkan, serangan besar-besaran itu dilancarkan terhadap kumpulan Turk yang mendakwa menembak mati juruterbang jet milik Rusia itu ketika mangsa menyelamatkan diri menggunakan payung terjun selepas pesawat tersebut ditembak.
Kumpulan penentang kerajaan Syria itu turut menyiarkan satu rakaman menunjukkan mereka bersorak dan melaungkan ‘Allahu Akhbar’ ketika menemukan mayat Leftenan Kolonel Oleg Peshkov.
Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengesahkan bahawa seorang lagi juruterbang, Kapten Konstantin Murahtin diselamatkan oleh tenteranya selepas ope­rasi bersama kerajaan Syria selama 12 jam dan kini dibawa ke sebuah pangkalan tentera Rusia.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, sekurang-kurang­nya 12 serangan udara menyasarkan kawasan pedalaman Latakia ketika tentera kerajaan Syria bertempur dengan kumpulan penentang Turk dan Barisan Nusra di Jabal Akrad dan Jabal Turkman.
Seorang komander kumpulan Turk berkata, serangan peluru berpandu dilancarkan dari kapal perang Rusia di Laut Mediterranean juga mengenai kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ankara dan Moscow masing-masing menyalahkan antara satu sama lain berhubung kejadian jet pejuang ditembak jatuh berkenaan.
Murahtin dalam temu bual menafikan menerima sebarang amaran daripada juruterbang pesawat F16 milik Turki sebelum ditembak jatuh walaupun rakaman audio berhubung amaran dan pengesahan berkenaan disiarkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Beliau menafikan memasuki ruang udara Turki, malah pasti tidak menceroboh wilayah negara itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rusia-serang-kawasan-penentang-syria-1.162768#sthash.GgSk4XkI.dpuf