Thursday, 4 February 2016

36 peratus pelarian adalah kanak-kanak

4 FEBRUARI 2016
36 peratus pelarian adalah kanak-kanak

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) mendedahkan satu pertiga daripada pelarian yang sanggup menggadai nyawa merentasi Mediterranean untuk ke rantau Eropah adalah golongan budak.
Jurucakapnya, Sarah Crowe memaklumkan 36 peratus daripada jumlah migran dari Turki ke Greece adalah kanak-kanak.
"Hampir 60 peratus daripada jumlah pelarian itu adalah wanita dan budak yang mana kebanyakannya adalah dari Syria dan zon dilanda konflik. Jumlah tersebut menunjukkan satu perubahan sangat ketara sejak Jun tahun lalu," katanya.
Sementara itu, penyelaras khas Unicef untuk krisis pelarian di Eropah, Marie Pierre Poirier berkata, golongan wanita dan kanak-kanak sebenarnya lebih terdedah kepada risiko ketika berlayar ke Eropah.
Menurutnya, ancaman tersebut semakin jelas memandangkan rantau tersebut kini dilanda musim sejuk.
Dalam satu kenyataan lain, Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) melaporkan hasil tinjauan mereka mendapati 20 peratus daripada pelarian yang mati lemas pada bulan lalu adalah golongan budak.  - Press T
V

Keadaan Kanak-Kanak Mangsa Bot Karam Menyayat Hati


Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2016 11:53 AM
Mayat budak lelaki yang lemas dalam kejadian bot karam di pantai Turki, Sabtu.

AYVACIK: Sekurang-kurangnya 37 maut termasuk kanak-kanak ditemui terdampar di pantai Turki selepas sebuah bot pendatang karam ketika cuba memasuki Eropah.
Media asing yang merakamkan kejadian pada Sabtu memaparkan keadaan kanak-kanak yang mati lemas dihanyutkan ombak ke pantai  ke tepi pantai dekat Bandar Ayvacik di timur laut Wilayah Canakkale.
Salah satu gambar AFP menunjukkan kanak-kanak yang mati berseluar gelap dan berbaju biru, dengan mukanya ditutup dengan topi.
Tambah menyedihkan apabila puting kanak-kanak itu berada di sisi mangsa.
Gambar lain menunjukkan seorang pegawai polis Turki memasukkan jasad seorang kanak-kanak ke dalam beg mayat. 
Kejadian itu mengimbau saat kematian kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi di pantai Turki pada September lalu.
Setakat ini, jumlah kanak-kanak yang lemas dalam kejadian berhampiran Pulau Lesbos, Greece itu belum dapat dipastikan. Laporan awal menyebut lima terkorban.