Monday, 21 September 2015

Croatia tutup sempadan


AP - ANGGOTA polis Croatia kelihatan membuat halangan di atas jambatan yang merentasi Sungai Danube bersempadan dengan Serbia semalam.


ZAGREB – Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia selepas lebih 11,000 imigran mula membanjiri negara itu semalam.
Kumpulan imigran tersebut berjaya mengelak kawalan polis, merentasi kawasan padang dan cuba menyusup masuk ke Slovenia melalui kereta api.
Hanya lintasan sempadan Bajakovo iaitu lebuh raya antara bandar Belgrade, Serbia dan Zagreb dibuka untuk laluan imigran.
Sementara itu, Slovenia yang berjiran turut menutup semua lalu lintas ke laluan utama dari Croatia termasuk menghentikan sebuah kereta api yang membawa kumpulan itu untuk ke se­belah sempadan Slovenia.
Kumpulan imigran berpusu-pusu masuk ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang turut dianggotai Croatia sejak dua hari lalu selepas Hungary bertindak tegas dengan membuat halangan pagar besi dan mengadakan kawalan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air kepada golongan berkenaan.
Di sebuah stesen kereta api di timur sempadan Croatia dan Serbia, beribu-ribu imigran kelihatan terkandas kelmarin menyebabkan mereka terpaksa tidur di kawasan terbuka.
Menteri dalam Negeri Crotia, Ranko Ostojic memberi amaran kelmarin bahawa Croatia akan menutup sempadan negaranya dengan Serbia jika aliran masuk imigran terus berada pada kadar sama dan memberitahu negara itu sudah cukup kapasiti.
Sementara itu, Serbia melahirkan rasa kesal dengan tindakan Croatia yang menutup sempadan antara negara.
“Kita ingin memberi amaran bahawa tindakan Croatia dan negara lain yang menutup jalan antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh diterima,” kata menteri yang menguruskan hal ehwal imigran, Aleksandar Vulin. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMiJKjcv 
Hakcipta terpelihara 

EU buntu krisis imigran


KUMPULAN imigran berhimpun di sempadan Hungary dan Austria kelmarin. - AGENSI


LONDON – Beribu-ribu imigran memasuki Austria kelmarin selepas ditolak oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sekitarnya yang sudah tidak mampu menampung kebanjiran mereka.
Setakat ini, Hungary melaksanakan tindakan paling keras untuk mengekang kebanjiran pendatang asing berkenaan dengan membina pagar besi di sepanjang sempadannya dengan Serbia.
Hungary bagaimanapun mengalah pada Jumaat lalu apabila membenarkan sekurang-kurangnya 11,000 imigran masuk ke negara itu dari Croatia.
Kumpulan pelarian itu kemudian menaiki bas ke pusat-pusat pemprosesan imigran berhampiran sempadan Hungary dan Austria. Pihak berkuasa Austria memberitahu, kira-kira 10,000 imigran memasuki negara itu kelmarin dari Slovenia dan Hungary.
“Saya berasa sangat lega,” kata seorang pelajar dari Syria, Rita Mohager, 20, selepas memasuki Austria dari Slovenia kelmarin.
Rita melakukan perjalanan getir selama empat minggu dari kampung halamannya di Latakia merentasi Turki, Greece, Macedonia, Serbia, Croatia dan Slovenia.
Dalam pada itu, krisis pelarian di Eropah turut mencetuskan pertikaian politik.
Hubungan diplomatik yang baik dalam kalangan negara EU diketepikan apabila negara-negara berkenaan mengambil pendekatan ‘cuci tangan’ dalam menangani kemasukan imigran.
Croatia yang merekodkan ketibaan 20,000 imigran sejak Rabu lalu, kebanyakannya dari Serbia selepas mereka dihalang memasuki Hungary, menyaksikan Perdana Menterinya, Zoran Milanovic mengutuk cubaan Hungary menolak kemasukan pelarian itu.
“Kami akan memaksa Hungary menerima imigran dengan berterusan menghantar mereka,” kata Milanovic pada satu sidang akhbar.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto pula membalas: “Daripada menyediakan bantuan dengan jujur untuk imigran, negara itu menghantar mereka terus ke Hungary. Adakah ini yang dinamakan perpaduan Eropah?”
Di Slovenia yang menjadi pusat krisis tersebut, Perdana Menterinya, Miro Cerar membangkitkan kemungkinan membuka satu ‘koridor’ bagi membolehkan imigran bergerak dengan selamat dari rantau Balkan ke negara-negara sebelah Eropah.
“Jika tekanan kemasukan pelarian menjadi terlalu teruk, kami akan membincangkan tentang sebuah koridor di bawah perjanjian dengan negara Eropah,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMhf5TI7 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya


Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya

21 SEPTEMBER 2015
Lebih 7,000 migran diselamatkan di Libya Seorang pelarian wanita menunggu untuk masuk ke Greece selepas polis Turki menyekat lebuh raya. - Foto AFP

MILAN - ITALI. Hampir 7,400 migran diselamatkan di luar pantai Libya, kelmarin, ketika mereka cuba masuk ke Eropah, dengan seorang wanita ditemui mati.

Menurut pengawal pantai Itali dalam satu kenyataan, pihaknya telah menyelaras 20 operasi menyelamat melibatkan banyak kapal dan seramai 4,343 pelarian telah diselamatkan dari bot serta tongkang.

"Dalam salah sebuah bot, seorang mayat wanita ditemui," katanya tanpa memberitahu punca kematian.

Difahamkan, operasi menyelamat telah dilakukan oleh kapal dari pengawal pantai dan tentera laut Itali, agensi kemanusiaan Doktor Tanpa Sempadan dan Stesen Bantuan Migran Luar Pesisir Malta. - Reuters

Komander militan Barisan Nusra maut


21 SEPTEMBER 2015
Komander militan Barisan Nusra maut

 Militan al-Qaeda dan sekutunya Barisan Nusra memandu di utara bandar Aleppo di Syria untuk menuju ke barisan hadapan. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Komander Barisan Nusra yang dikaitkan dengan kumpulan militan al-Qaeda dilaporkan terbunuh dalam pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan Syria dan tentera bersekutu di wilayah barat laut Idlib, di Syria.

Pengarah Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, Abul Hassan al-Tunsi maut di pinggir al-Foua dan kampung Kefraya selepas tentera Syria dengan disokong pejuang pro kerajaan menewaskan kumpulan itu.

"Tunsi dikenal pasti sebagai pemimpin penting Barisan Nusra yang tiba di Syria pada 2012. Dia pernah berkhidmat sebagai orang paling dipercayai oleh bekas pemimpin al-Qaeda, Osama Laden, di Afghanistan dan Iraq," katanya.

Kelmarin, pasukan keselamatan Syria dibantu pejuang pro kerajaan membunuh lebih 100 anggota kumpulan berkenaan dalam satu siri serangan di wilayah tersebut.

Menurut sumber, beberapa militan dari Uzbekistan dan Chechnya adalah antara yang terbunuh dalam pertempuran itu. - Press TV

Bot getah bertembung feri


Ankara: Sekurang-kurangnya 13 migran mati lemas di luar perairan Turki semalam selepas bot getah membawa merkea ke Greece melanggar feri.

Agensi berita Dogan melaporkan, empat kanak-kanak antara 46 migran menaiki bot itu dari pelabuhan Canakkale ke pulau Lesbos di Greece.


Kerakyatan mangsa masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, pengawal pantai Greece melaporkan menyelamatkan 22 orang daripada bot yang karam berhampiran Lesbos, dipercayai membabitkan kejadian sama.

Mangsa terselamat dikenali sebagai Haseen memberitahu agensi berita Greece, ANA, bot dinaikinya merempuh kapal berkenaan.

“Keadaan amat gelap namun kami dapat melihat kapal itu semakin menghampiri.

“Kami cuba menyuluh menggunakan lampu suluh dan telefon bimbit tetapi mereka tidak dapat melihat kami,” katanya.

Katanya, dia dan penumpang lain tercampak dalam air dan menghadapi kesukaran disebabkan ombak besar.

“Ada kanak-kanak yang mati. Keadaan terlalu gelap dan kami tidak dapat melihat mereka,” katanya.

Jurucakap pengawal pantai Greece berkata, kumpulan itu ditemui dalam air berhampiran Lesbos oleh helikopter yang dikerahkan agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex.

“Berikutan itu dua kapal kami dihantar untuk menyelamatkan 22 orang termasuk tiga wanita dan seorang budak,” katanya.

Menurut ANA, seorang wanita dan bayinya antara yang berjaya diselamatkan. Lapan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masih tidak dapat dikesan.

ANA melaporkan kumpulan itu membayar 1,000 euro (RM4,800) seorang kepada penyeludup untuk dibawa ke Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

Migran yang berjaya diselamatkan.

4,343 dalam 24 jam


Agensi
Rome: Pengawal pantai Itali menyelamatkan hampir 4,700 migran di laut Mediterranean dalam tempoh 24 jam dalam operasi yang turut dirakam dan disiarkan.

Sebanyak 20 operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan pelbagai kapal yang menemui 4,343 migran menaiki bot di perairannya.


Menurut kenyataan pengawal pantai, seorang wanita ditemui mati dalam sebuah bot getah digunakan. Semua migran ditemui kini dibawa ke pelbagai pelabuhan di Itali untuk diuruskan.

Sementara itu, 26 migran dikhuatiri hilang selepas bot getah yang membawa 46 orang karam di pulau Lesbos, Greece.

Kerakyatan mereka tidak diketahui dan setakat ini 20 yang lain sudah ditemui.

Jurucakap pengawal pantai berkata: “Mereka yang terselamat memaklumkan bot itu membawa 46 orang.”

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu menemui wakil pelarian Syria dan anggota pembangkang Syria lewat kelmarin meminta mereka menamatkan mogok duduk di sempadan dengan Greece di Edirne.

Ribuan migran menunggu di luar stadium selepas pasukan keselamatan menghalang mereka memasuki sempadan ke Greece sejak tiga hari lalu.

Ratusan lain masih menunggu di stesen bas di Istanbul dengan harapan dapat ke Edirne seterusnya ke Greece.

Sehubungan itu, tiga wakil menemui Davutoglu di Ankara yang berjanji akan menulis surat secara peribadi kepada pemimpin Eropah bagi pihak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

PENGAWAL pantai Itali melakukan operasi menyelamat.

Polis Slovenia bertempur dengan pelarian


Harmica (Croatia): Polis Slovenia melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan beratus-ratus pelarian yang merusuh selepas dihalang masuk ke negara itu kelmarin.

Kejadian berlaku di pintu sempadan di Harmica ketika kumpulan pelarian itu menunggu kebenaran untuk masuk ke Slovenia.

Selepas hampir satu jam ketegangan berlaku, polis terpaksa menyembur gas pemedah mata terhadap kumpulan pelarian yang cuba merempuh masuk ke sempadan.

Kejadian itu tercetus beberapa jam selepas Perdana Menteri Slovenia, Miro Cerar memberitahu, negara itu mungkin membuka satu koridor selamat untuk pelarian menuju ke utara Eropah.

“Sekiranya tekanan mengenai pelarian ini bertambah kuat kami pasti berbincang dengan beberapa negara lain untuk mengwujudkan koridor ini,” katanya.

Pihak berkuasa Slovenia kelmarin merekodkan lebih 1,000 pelarian masuk ke negara itu dan 700 lagi menunggu di sempadan Obrezje di Croatia.

“Kumpulan pelarian datang tidak putus-putus dan sukar untuk kami merekodkan jumlah yang tepat,” kata jurucakap polis Slovenia, Alenka Drenek.

Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Slovenia menghentikan semua perkhidmatan kereta api dari Crotia selepas digunakan pendatang untuk masuk ke negara itu.

Krisis pelarian di Eropah semakin memuncak selepas ratusan ribu pelarian masuk ke negara itu sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:12 AM


SEORANG kanak-kanak memegang bunga ros di hadapan polis Slovenia ketika menunggu untuk masuk ke negara itu kelmarin.

56 askar Syria dibunuh


AFP
Beirut: Kumpulan penentang dan Al-Qaeda di Syria membunuh 56 askar negara itu selepas menawan sebuah pangkalan tentera udara di Abu Duhur di wilayah Idlib, kata Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia semalam.

“Barisan Al-Nusra dan Al-Qaeda melaksanakan hukuman bunuh dengan menembak mati semua askar itu di pangkalan berkenaan,” kata pengarah agensi pemantau itu, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan pada awal minggu ini, tetapi pihaknya baru mendapat pengesahan semalam.

Barisan Al-Nusra mengetuai beberapa kumpulan penentang yang digelar Tentera Penakluk menawan pangkalan tentera udara itu pada 9 September lalu.

Ketika serangan itu, kumpulan penentang membunuh berpuluh-puluh askar Syria dan sebahagian mereka dijadikan tawanan.

Kumpulan penentang itu kini menawan hampir keseluruhan wilayah Idlib kecuali Fuaa dan Kafraya, dua kampung yang masih dikuasai kerajaan.

Bagaimanapun, Rami berkata, kumpulan itu mula menyerang di kampung berkenaan kelmarin dengan melancarkan sembilan bom kereta.

Serangan itu menyebabkan sekurangnya 17 askar kerajaan terbunuh dan 17 lagi pejuang maut.

Seorang pengebom berani mati berjaya masuk ke Fuaa dan meletupkan dirinya.

Serangan itu menyebabkan tujuh orang awam maut termasuk dua kanak-kanak.

Pertempuran sengit dan serangan mortar di dua kampung berkenaan berterusan sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM
DISYORKAN

Slovenia halang kemasukan pelarian

Krisis di sempadan Croatia-Hungary tegang

RIBUAN pelarian berebut untuk menaiki kereta api menuju ke Hungary

RIBUAN pelarian berebut untuk menaiki kereta api menuju ke Hungary di bandar Tovarnik dekat timur Croatia, kelmarin. AFP
HARMICA 19 Sept. - Polis Slovenia menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan sekumpulan pelarian yang berkumpul di kawasan sempadannya malam tadi, ketika kerajaan negara ini sedang menimbangkan langkah untuk membuka sebuah koridor selamat untuk menempatkan pelarian yang melalui negara ini untuk menuju ke negara lain.
Kejadian berlaku berhampiran pintu sempadan Harmica, ketika ratusan pelarian menuntut untuk dibenarkan masuk ke Slovenia.
Selepas ketegangan selama satu jam, polis antirusuhan melepas gas pemedih mata bagi menghalang pelarian masuk dengan beberapa orang daripada mereka membawa kanak-kanak, bertindak menolak sekatan polis di sebuah jambatan di kawasan sempadan.
Pertempuran berlaku selama beberapa jam selepas Perdana Menteri, Miro Cerar mengumumkan Slovenia mungkin menimbangkan untuk mewujudkan koridor selamat buat pelarian yang mahu ke utara Eropah, sekiranya mereka terus datang dalam jumlah yang besar.
Dalam perkembangan berkaitan di Croatia, kerajaan mula memindahkan ratusan pelarian ke kawasan sempadannya dengan Hungary, sekali gus menambah ketegangan krisis pelarian di Eropah.
Ketika Croatia mendakwa sudah tidak mampu menerima kehadiran pelarian yang sudah mencapai 17,000 orang, mereka memindahkan pelarian itu ke sempadan negara itu dekat Hungary yang sudahpun memasang pagar di kawasan sempadannya menggunakan kawat duri.
Menteri Luar Croatia, Vesna Pusic berkata, Zagreb dan Budapest bersetuju untuk membenarkan pelarian yang lemah untuk menyeberangi sempadan memasuki Hungary.
“Croatia dan Hungary bersetuju untuk bekerjasama dan membenarkan kumpulan pelarian yang lemah memasuki Hungary,’’ katanya merujuk kumpulan pelarian itu terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Sementara itu, pihak berkuasa Hungary telah menahan sebuah kereta api Croatia yang membawa pelarian dari Croatia dan melucutkan senjata 40 orang anggota polis Croatia yang mengiringi pelarian itu serta menahan pemandu kereta api berkenaan, semalam.
Tindakan itu berlaku selepas lebih 4,000 pelarian tiba di sempadan Hungary dari Croatia. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/slovenia-halang-kemasukan-pelarian-1.137996#sthash.HvJzippP.dpuf

Bot karam, seorang pelarian kanak-kanak maut


Pelarian Syria menurunkan seorang kanak-kanak sejurus mereka tiba
PELARIAN Syria menurunkan seorang kanak-kanak sejurus mereka tiba di Pulau Lesbos di Greece dari Turki, kelmarin. - AGENSI
LESBOS 19 Sept. – Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia lima tahun maut, manakala 13 lagi dilaporkan hilang dalam satu insiden kapal yang membawa orang pelarian karam di Pulau Lesbos di Greece, hari ini.
Jurucakap pasukan pengawal pantai Greece, Nikos Lagkadianos berkata, sebanyak 11 orang pelarian berjaya diselamatkan di perairan antara Lesbos dan Turki, manakala seorang lagi penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
Menurut mangsa yang terselamat, mereka menganggarkan seramai 13 orang penumpang kapal masih hilang.
Kanak-kanak perempuan itu ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Puluhan ribu pelarian kebanyakan mereka rakyat Syria mempertaruhkan nyawa menaiki bot atau kapal hanyut yang penuh sesak untuk menyeberangi Laut Mediterranean dari Turki menuju ke Greece.
Selasa lalu, sebanyak 22 pelarian mati lemas, manakala lebih 200 orang berjaya diselamatkan ketika mereka cuba menghampiri pulau Kos di Greece, manakala dalam insiden berasingan, 34 pelarian, separuh daripada mereka kanak-kanak dan bayi maut, apabila bot mereka karam di Pulau Farmakonisi pada Ahad lalu.
Setakat ini, sebanyak 430,000 pelarian telah menyeberangi Laut Mediterranean menuju ke Eropah dengan 309,000 tiba menerusi Greece, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.  REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bot-karam-seorang-pelarian-kanak-kanak-maut-1.138001#sthash.pUM1odA6.dpuf

Austria terima 
15,700 pelarian


21 September 2015 12:33 AM



VIENNA 20 Sept. – Kira-kira 15,700 pelarian yang bersesak-sesak menaiki bas dan kereta api, tiba di Austria semalam dan hari ini, ketika negara Eropah lain enggan menerima mereka atau tidak mampu lagi menangani kebanjiran golongan tersebut.
Menurut polis Austria, lebih 11,000 pelarian memasuki negara ini semalam, disusuli 4,700 hari ini menerusi sempadan Nickelsdorf dari Hungary.
Kebanyakan pelarian tersebut melalui perjalanan memenatkan dari Balkan ke barat Eropah, dengan Croatia menyatakan kira-kira 21,000 telah memasuki wilayahnya sejak empat hari lalu.
Palang Merah Austria pula memaklumkan, lebih kurang 2,000 pelarian sampai ke Jerman tanpa melalui pemeriksaan sempadan.
Kebanjiran pelarian paling ramai ke rantau berkenaan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua itu mewujudkan perselisihan faham antara anggota blok barat dan timur Kesatuan Eropah (EU) tentang bagaimana untuk mengagih-agihkan pelarian dengan adil.
Beberapa buah negara telah menguatkuasakan undang-undang pengawalan sempadan, susulan jumlah semasa pelarian yang memasuki Eropah mence­cah setengah juta orang, dengan EU menerima lebih suku juta permohonan untuk menjadi pencari suaka yang sah sejak tiga bulan lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/austria-terima-8232-15-700-pelarian-1.138471#sthash.804MKidp.dpuf

Eropah berbalah isu pelarian


21 September 2015 12:34 AM


ATHENS 20 Sept. - Krisis pelarian di benua Eropah semakin meruncing apabila Hungary menge­rahkan aset tentera mengawal sempadan berdekatan Croatia dan menuduh negara jirannya itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Kemelut terbaharu itu tercetus susulan tindakan tegas kerajaan Hungary menguatkuasakan undang-undang kawalan sempadan bagi menangani kebanjiran pela­rian dan Croatia membuka laluan sempadannya kepada pencari suaka politik untuk memasuki negara Eropah, tetapi langkah tersebut memakan diri ekoran jumlah pelarian yang terlalu ramai.
Perdana Menteri Croatia, Zoran Milanovic berkata, kerajaan terpaksa menutup beberapa pintu sempadan dan tidak boleh lagi menerima pelarian selain hanya memberi bantuan makanan, air, dan perubatan sebelum menghantar mereka ke barat dan utara Eropah.
“Kami akan memaksa Hungary dengan menghantar pelarian ke negara tersebut dan kami akan meneruskan tindakan itu,” kata Milanovic seperti dilaporkan portal Mail Online.
Kelmarin, kira-kira 3,000 pelarian memasuki Hungary menaiki bas dan kereta api, mencetuskan kemarahan Athens yang menuduh Croatia melakukan pe­langgaran undang-undang antarabangsa kerana menghantar pelarian ke negara ini.
Ekoran itu, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban semalam mengarahkan misi ketenteraan dengan melibatkan kerahan konvoi kenderaan berperisai dan beratus-ratus askar untuk berkawal di sempadan di bahagian selatan selepas beliau menuduh Croatia memaksa pelarian memasuki negara ini.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto menyifatkan tindakan Milanovic sebagai menyedihkan kerana berpura-pura membantu pelarian, sebaliknya menghantar mereka terus ke Hungary.
“Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan pagar di kawasan sempadan dengan Croatia,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Hungary, Zoltan Kovacs berkata, sistem Croatia untuk mengendalikan isu pelarian dan pendatang ternyata telah ‘rosak’.
“Kejadian yang berlaku beberapa hari ini menunjukkan kegagalan sistem Croatia untuk menangani isu pelarian.
“Secara jelasnya, kita boleh menyaksikan aktiviti penyeludupan manusia dengan membawa kumpulan pelarian ke sempadan Hungary,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-berbalah-isu-pelarian-1.138486#sthash.xLY5Tnf2.dpuf

Lagi 13 pelarian terbunuh bot karam

21 September 2015 12:34 AM





ATHENS 20 Sept. – Tragedi demi tragedi terus berlaku membabitkan pelarian Asia Barat apabila 13 orang disahkan maut hari ini di perairan Turki selepas bot getah dinaiki mereka untuk ke Greece karam ­selepas bertembung dengan sebuah feri.
Kejadian terbaharu itu berlaku sehari selepas Pengawal Pantai Itali memaklumkan pihaknya menyelamatkan hampir 4,700 pela­rian semalam daripada bot-bot dan ­kapal yang sesak.
Agensi berita Dogan melaporkan, empat kanak-kanak merupakan antara yang maut apabila bot getah itu membawa 46 penumpang dari Pelabuhan Canakkale di barat laut Turki ke Pulau Lebos.
Laporan itu menyebut, sebanyak 20 orang berjaya diselamatkan, ­sementara 13 lagi masih hilang.
Seorang jurucakap Pengawal Pantai Greece yang enggan dikenali berkata, operasi mencari dan ­menyelamat masih diteruskan.
Bagaimanapun katanya, status kerakyatan pelarian yang hilang itu masih belum dapat dikenal pasti.
“Mangsa yang terselamat ­memaklumkan, bot tersebut ­dinaiki kira-kira 46 pelarian dan 26 orang lagi masih hilang,” katanya.
Dalam satu insiden berasingan, sebanyak 26 orang pelarian ­hilang selepas bot mereka karam di Laut Aegean, berhampiran ­pantai ­Pulau Lesbos.
Sebanyak 20 orang berjaya di­selamatkan dalam kejadian tersebut.
Kejadian bot pelarian karam hampir berlaku setiap hari di perairan Greece ekoran krisis pelarian yang kebanyakannya dari Syria cuba mencari perlindungan di benua Eropah, terutamanya di Jerman.
Semalam, seorang pelarian kanak-kanak meninggal dunia dan 13 lagi mangsa masih hilang apabila bot yang dinaiki mereka karam di Pulau Lesbos, lokasi transit kumpulan pelarian sebelum menuju ke utara Eropah.
Minggu lepas, sebanyak 15 kanak-kanak termasuk lapan bayi antara 34 pelarian yang mati lemas dalam kejadian bot karam di Pulau ­Farmakonisi yang terletak antara Greece dan Turki. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lagi-13-pelarian-terbunuh-bot-karam-1.138477#sthash.2SPyXkWo.dpuf