MENTERI Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir. - Foto AFP |
VIENNA: Tindakan Russia di Syria menyemarakkan lagi peperangan di negara itu, yang hanya boleh berakhir dengan pengunduran tanpa syarat Presiden Bashar al-Assad, kata Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sebelum bertemu rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Russia dan Turki.
"Kami percaya campur tangan Russia di Syria amat berbahaya kerana ia memburukkan konflik," kata Jubeir kepada media di sini, menambah pihaknya sudah menjelaskan pendirian itu kepada Russia.
Tentera udara Syria sudah melakukan lebih 780 serangan ke atas hampir 800 sasaran di Syria sejak 30 September lalu.
"Kami percaya Russia akan dilihat campur tangan dalam konflik mazhab di Asia Barat. Kami bimbang ia akan mencetuskan emosi di kalangan dunia Islam yang seterusnya menyebabkan peningkatan pejuang pergi ke Syria," katanya.
Hampir 80 peratus sasaran diisytihar Russia di Syria berada di kawasan bukan dipegang militan Kumpulan Negara Islam (IS), kata analisis Reuters ke atas data Kementerian Russia menunjukkan, mengetepikan dakwaan Moscow bahawa sasarannya untuk melemahkan kumpulan itu.
Ketika ditanya jika Assad dapat memainkan peranan dalam mana-mana kerajaan sementara Syria, Jubeir berkata, peranannya hanyalah berundur dari Syria.
"Senario terbaik adalah apabila kami bangun pada waktu pagi dan Bashar al-Assad tidak lagi berada di sana," katanya.
Setiausaha Negara AS John Kerry dijangka bertemu Jubeir, Menteri Luar Turki Feridun Sinirlioglu dan Menteri Luar Russia Sergei Lavrov di sini Jumaat bagi membincangkan isu Syria. - REUTERS