Sunday 9 March 2014

Dua juta kanak-kanak Syria tidak dapat pendidikan sempurna


Sebuah keluarga Syria yang mempunyai anak-anak kecil, terpaksa menetap di sebuah tempat letak kereta di Kucukpazar, Istanbul, Turki, selepas meninggalkan negara mereka akibat perang saudara. - AFP
WASHINGTON 8 Mac - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, lebih dua juta kanak-kanak Syria tidak mendapat pendidikan yang sempurna ekoran perang saudara di negara itu yang berlarutan selama tiga tahun.
Setiausahanya, Ban Ki-moon berkata, kira-kira 40 peratus daripada sekolah-sekolah di Syria musnah ataupun digunakan sebagai tempat perlindungan oleh rakyat yang melarikan diri daripada rumah masing-masing.
"Lebih dua juta kanak-kanak Syria tidak bersekolah.
"Dalam kebanyakan zon perang di seluruh dunia, sekolah-sekolah dan hospital turut dijadikan sasaran atau terperangkap dalam serangan bersenjata,'' kata Ki-moon kepada Majlis Keselamatan PBB semasa satu debat tentang nasib kanak-kanak di negara bergolak itu.
Beliau berkata, satu daripada lima hospital awam di Syria turut berhenti daripada beroperasi ekoran perang itu yang mengorbankan lebih 140,000 penduduk sejak Mac 2011.
Sementara itu, wakil khas Ki-moon untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata, Leila Zerrougui berkata, pembunuhan serta penyiksaan terhadap kanak-kanak dan serangan ke atas sekolah dan hospital berterusan tanpa henti dengan kanak-kanak diambil menjadi rekrut yang digunakan pelbagai kumpulan bersenjata.
"Kami tidak mampu kehilangan sebuah generasi di Syria,'' kata Zerrougui pada majlis itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_05/Dua-juta-kanak-kanak-Syria-tidak-dapat-pendidikan-sempurna#ixzz2vPW7zfqe
© Utusan Melayu (M) Bhd