Thursday, 22 September 2016

Harapan damai hampir terkubur




KEADAAN sebuah kereta yang musnah dalam serangan udara di Aleppo, semalam. - EPA


Reuters
Beirut: Penentang Syria bertempur dengan anggota militan prokerajaan di medan utama pertempuran di Aleppo dan Hama, manakala serangan udara dilaporkan menyebabkan puluhan orang termasuk empat pekerja perubatan terbunuh, sekali gus menggambarkan harapan untuk mewujudkan keamanan di negara itu semakin musnah.

Pertempuran terbaru itu mengurangkan harapan terhadap usaha untuk menyambung semula gencatan senjata yang semakin gagal susulan perbalahan dan serangan pada Isnin lalu, termasuk terhadap konvoi bantuan yang didakwa Amerika Syarikat (AS) dilakukan jet pejuang Russia.

Moscow menafikan dakwaan itu.

Pertempuran terbaru sepanjang malam kelmarin berlaku di kawasan menuju ke Aleppo, tempat kumpulan penentang di timur bandar itu dikepung tentera kerajaan yang dibantu militia yang disokong Iran serta tentera udara Russia.

Seorang pejuang di Aleppo berkata, serangan udara menyasarkan bandar itu sepanjang malam, dipercayai sebagai persediaan untuk melancarkan serangan secara besar-besaran.

“Bagaimanapun tentera rejim gagal mara,” katanya ketika dihubungi Reuters menerusi Internet.

Tentera Syria dilaporkan melakukan serangan udara di tujuh kawasan berhampiran Aleppo.

Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) melaporkan, empat pekerja perubatan dan sekurang-kurangnya sembilan pejuang penentang terbunuh dalam serangan udara di Khan Touman, selatan Aleppo.

Katanya, kakitangan perubatan terbabit bekerja untuk Kesatuan Organisasi Penjagaan dan Bantuan Perubatan (UOSSM). Dalam kenyataannya, UOSSM mengesahkan empat petugasnya terbunuh.

Pasukan tentera Syria juga dilapor cuba mara di wilayah Hama, barat Syria.

Abu al-Baraa al-Hamawi, komander kumpulan Jaish al-Fatah berkata: “Pertempuran memang sengit dengan tentera Syria dan militan yang menyokongnya dibantu pesawat Russia.

“Tetapi, Alhamdulillah kami berjaya mengekang kemaraan mereka.”

Menurutnya, pejuangnya berjaya memusnahkan empat kereta kebal dan memaksa pengunduran tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 8:04 AM