BEIRUT 8 Mac - Seramai 17 anggota kumpulan penentang terkorban dalam satu pertempuran dengan tentera kerajaan yang sedang berusaha mendapatkan semula kawasan kubu kuat kumpulan penentang itu di sempadan Lebanon, kata beberapa aktivis Syria semalam.
Badan pemerhati hak asasi manusia Syria di Britain berkata, kesemua mangsa dari kumpulan penentang itu terkorban dalam satu pertempuran dengan tentera Presiden Bashar Assad yang berlangsung sepanjang malam berhampiran Yabroud.
Bandar itu merupakan lokasi kubu kuat kumpulan penentang di wilayah pergunungan Qalamoun, Syria yang terbentang luas sehingga ke sempadan Lebanon.
Badan pemerhati itu berkata, pesawat kerajaan telah melakukan enam serangan udara di kawasan kumpulan penentang di pinggir Yabroud, kelmarin. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140308/lu_01/17-anggota-penentang-maut-di-Syria#ixzz2vJhxTFWR
© Utusan Melayu (M) Bhd