Thursday, 29 May 2014
Pengundi Syria di luar negara mula mengundi
|
DAMSYIK - Pengundi-pengundi Syria yang tinggal di luar negara mula mengundi pada pilihan raya Presiden semalam yang dijangka dimenangi Bashar al-Assad.
Televisyen Syria melaporkan, rakyat negara ini membuang undi di negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Syria.
Bashar berdepan dengan dua lagi calon Presiden yang tidak begitu popular, Maher Hajjar dan Hassan al-Nouri pada pilihan raya Presiden pada 3 Jun ini.
Di Lebanon, ribuan rakyat Syria yang rata-rata menyokong Bashar beratur panjang untuk mengundi.
"Saya di sini mengundi untuk negara saya, Syria dan untuk pemimpin kami, Bashar al-Assad," kata seorang pengundi yang hanya dikenali sebagai Fatima.
Fatima berasal dari wilayah Aleppo, utara Syria.
Beliau enggan memberikan nama penuh disebabkan saudara-maranya masih berada di Aleppo.
Duta Syria di Lebanon, Ali Abdel-Karim pula berkata, proses pengundian selama sehari itu dibuka hingga pukul 7 malam.
"Jika jumlah kedatangan pengundi semakin meningkat, kita mungkin menyambung proses mengundi ini dua jam lagi," katanya.
Dijangkakan sebanyak 1.1 juta rakyat Syria tinggal sebagai pelarian di Lebanon.
Lebih 40 peratus daripada 22.4 juta rakyat negara ini melarikan diri ekoran konflik politik yang berlaku di Syria sejak empat tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, angka kematian akibat serangan udara di bandar utara Aleppo meningkat kepada 40 orang dalam pertempuran di kawasan penentang Syria dalam tempoh 24 jam, menurut sebuah kumpulan pemerhati semalam.
Lebih 150,000 orang terbunuh dalam peperangan saudara yang berlaku di Syria sejak Mac 2011.
Peperangan saudara itu yang melibatkan kumpulan penentang dengan tentera Bashar tercetus selepas penduduk tempatan bangkit menentang pemerintahannya yang dianggap korup dan gagal melaksanakan tuntutan demokrasi.- Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz333U4Ku00
Hakcipta terpelihara
Subscribe to:
Posts (Atom)