8 Januari 2015
THE HAGUE - BELANDA. Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW), kelmarin mendakwa mereka mempunyai bukti yang menunjukkan gas klorin digunakan dalam serangan di Syria antara April dan Ogos tahun lalu.
Menurut laporan agensi itu, sekurang-kurangnya 13 maut manakala ratusan lagi menunjukkan gejala keracunan klorin sejurus insiden serangan ke atas perkampungan Talmenese, al-Tamanah dan Kafr Zita tersebut.
Bagaimanapun, laporan terbabit tidak mendedahkan dalang yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia itu, namun keterangan 32 saksi menunjukkan gas klorin tersebut dilepaskan dari sebuah helikopter dipercayai milik tentera rejim Presiden Bashar
al-Assad. - Al-Arabiya