Wednesday 24 December 2014

Bantuan perubatan ke Aleppo diluluskan


24 Disember 2014

Penduduk Aleppo berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan perubatan sejak konflik
tercetus lebih tiga tahun lalu.
Penduduk Aleppo berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan perubatan sejak konflik
tercetus lebih tiga tahun lalu. Penduduk Aleppo berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan perubatan sejak konflik tercetus lebih tiga tahun lalu.



DAMSYIK - SYRIA. Kerajaan Syria bersetuju membenarkan penghantaran bekalan perubatan yang sangat diperlukan di Aleppo dan dua lagi kawasan sukar diakses, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, (WHO) kelmarin.

Wakil Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Syria, Elizabeth Hoff berkata, penghantaran masih bergantung kepada keadaan keselamatan namun beliau menyifatkan kelulusan itu sebagai satu langkah besar untuk membantu penduduk yang terperangkap akibat konflik berlarutan itu.

"Kami telah mendapat semua kelulusan dan bersedia untuk menyampaikan bantuan. Penghantaran pertama mungkin dilakukan di kawasan dikuasai pembangkang,"katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya yakin konvoi membawa bantuan ke Aleppo akan tiba minggu depan manakala penghantaran untuk dua kawasan lagi dijangka tiba dalam masa beberapa minggu lagi.

Difahamkan, bantuan bekalan perubatan sebanyak 28 tan metrik akan disampaikan ke tujuh buah bandar di Aleppo manakala 102 tan metrik lagi diperuntukkan untuk Muadamiya dan Timur Ghouta.  - Al -Arabiya

290 lokasi bersejarah Syria musnah



GAMBAR yang dirakam pada 21 Mac lalu menunjukkan kerosakan yang berlaku ke atas kota Perang Salib ‘Krak des Chevaliers’ yang terletak berdekatan sempadan Syria-Lebanon di Homs, kira-kira 200 kilometer dari Damsyik, Syria. - AFP



BEIRUT – Bahagian Latihan Dan Penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNITAR) mendedahkan imej rakaman satelit yang menunjukkan 290 kawasan bersejarah Syria musnah akibat peperangan.
Syria memiliki pelbagai seni bina menarik dan pernah menjadi empayar hebat di Asia Barat, namun beberapa kawasan kebudayaan dan bangunan di negara itu seperti Masjid Aleppo musnah serta dirompak sejak tiga tahun lalu.
Berdasarkan gambar satelit yang boleh didapati secara komersial, UNITAR mengklasifikasikan sebanyak 24 kawasan telah musnah secara keseluruhannya, sekitar 189 kawasan mengalami sedikit kerosakan, manakala 77 kawasan kemungkinan bakal menjadi mangsa.
Laporan terbaharu UNITAR membuktikan keadaan kawasan yang kebudayaan Syria yang musnah serta berada dalam keadaan bahaya itu memerlukan usaha perlindungan daripada pihak tempatan dan antarabangsa agar dapat dinikmati oleh generasi hadapan.
Pertempuran antara tentera pemimpin Presiden Bashar al-Assad dan puak pemberontak telah menyebabkan banyak bangunan bersejarah rosak selain dirompak termasuk sebuah makam purba di Palmyra dan kuil Rom.
Tapak Warisan Dunia yang disahkan oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) turut menjadi mangsa kerakusan perang di Syria dan kebanyakan kawasan bersejarah terletak di bahagian utara bandar Aleppo.
Konflik yang berlaku memaksa pihak tentera menggunakan istana terbesar dan tertua di dunia, Citadel di bandar Aleppo sebagai pangkalan tertera.
Pasukan tentera turut mengambil alih kota Perang Salib ‘Crac des Chevaliers’ yang berusia lebih 900 tahun pada bulan Mac lalu, namun beberapa bulan kemudian bangunan itu musnah dalam satu serangan bom.
Selain itu, gambar imej satelit turut menunjukkan kawasan penempatan di Raqqa termasuk bandar padang pasir Palmyra mengalami kerosakan yang teruk termasuk bandar purba Bosra dan Byzantine.
Ketua penjaga barangan antik dan muzium Syria, Maamoun Abdulkarim turut mendedahkan sekitar beberapa tahun lalu hampir puluhan ribu artifak tempatan yang menjangkau usia lebih 10,000 tahun terpaksa dipindahkan ke sebuah gudang untuk mengelakkan daripada kecurian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan lebih 200,000 orang telah terbunuh sewaktu konflik Syria yang berlaku sejak Mac 2011, melibatkan kes perang saudara dan kekejaman pasukan tentera. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Mls7viMK 
Hakcipta terpelihara