Sunday, 8 May 2016

Tiga Wartawan Diculik Di Syria Dibebaskan


Diterbitkan: Ahad, 8 Mei 2016 10:58 AM
Tiga wartawan Sepanyol yang dibebaskan selepas 10 bulan diculik.

MADRID: Tiga wartawan Sepanyol yang diculik di Syria sejak 10 bulan lalu dibebaskan pada Sabtu sebelum mereka berlepas pulang dari Turki, kata kerajaan.
Ketiga-tiga wartawan daripada pelabagai media itu dilihat kali terakhir di Aleppo pada Julai tahun lalu ketika melaporkan mengenai pertempuran di kawasan berkenaan.
"Ketiga-tiga mereka iaitu Antonio Pampliega, Jose Manuel Lopez dan Angel Sastre telah dibebaskan. Mereka telah dihantar ke Sepanyol," kata Presiden Persatuan Akhbar Sepanyol (Fape), Elsa Gonzalez.
Sumber terdekat dengan kerajaan Sepanyol memaklumkan, ketiga-tiga wartawan berkenaan kini berada di Turki untuk proses penghantaran pulang.
"Mereka berada di Turki dan dijangka akan terbang ke Sepanyol pada pagi Ahad," jelasnya.

Gencatan senjata di Aleppo dilanjutkan


Pemandangan udara memaparkan kemusnahan di daerah Saif al-Dawla

Pemandangan udara memaparkan kemusnahan di daerah Saif al-Dawla di Aleppo yang menjadi medan pertempuran baharu perang saudara di Syria. REUTERS
DAMSYIK 7 Mei – Gencatan senjata sementara di kawasan bergolak, Aleppo dilanjutkan bagi tempoh 72 jam lagi bermula hari ini walaupun keganasan semakin meningkat di selatan bandar kedua terbesar Syria itu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan, lanjutan tempoh tersebut dibuat hanya beberapa minit sebelum gencatan senjata selama 48 jam sebelum ini tamat, bagi mengelakkan situasi di Aleppo semakin buruk ekoran pertempuran antara tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
“Tentera Syria akan mematuhi gencatan sementara di wilayah Latakia dan bandar Aleppo bermula pukul 12.01 minit tengah malam waktu tempatan bagi tempoh 72 jam berikutnya,” jelas kementerian tersebut.
Gencatan sementara yang turut disokong oleh Amerika Syarikat itu, membuatkan penduduk Aleppo berasa lega selepas hampir dua ming­gu terhimpit dalam pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan penentang yang mengorbankan le­bih 280 nyawa orang awam.
Namun di selatan bandar tersebut, pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan militan yang bersekutu dengan pengganas al-Qaeda semakin meningkat selepas lebih 70 orang dilaporkan terbunuh semalam.
Sementara itu di tengah Syria, tentera negara ini melancarkan serangan di sebuah penjara di bandar Hama bagi menamatkan rusuhan yang dicetuskan lebih 800 banduan sejak Isnin lalu selepas mereka enggan dipindahkan ke penjara Say­dnaya di sini Damsyik yang dikendalikan oleh tentera.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia melaporkan, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan keselamatan Syria melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk memasuki kompleks penjara tersebut.
Menurut pertubuhan itu, situasi di Hama mencetuskan kebimbang­an berkaitan hak asasi manusia disebabkan kemungkinan pasukan keselamatan Syria menggunakan kekerasan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun perkembangan selanjutnya berhubung kejadian di Hama masih belum diketahui. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-aleppo-dilanjutkan-1.319606#sthash.HyRMLLFS.dpuf

AS lancar dua serangan terhadap IS


militan generic

WASHINGTON 8 Mei - Amerika Syarikat dan tentera bersekutunya melancarkan dua siri serangan terhadap kumpulan militan IS di Iraq dan Syria kelmarin.
Jurucakap ketenteraan AS berkata, 11 serangan telah dilancarkan di Iraq manakala enam lagi di Syria.
Tambah jurucakap tersebut, tiga daripada serangan di Iraq berdekatan Mosul menyebabkan kemusnahan fasiliti unit taktikal dan komunikasi IS manakala tiga lagi serangan di Syria menghancurkan pusat kawalan kumpulan tersebut. -REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/as-lancar-dua-serangan-terhadap-is-1.319692#sthash.D73Ama0E.dpuf