Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
Penduduk menyelamatkan seorang mangsa daripada sisa runtuhan bangunan yang dibedil dalam serangan udara diketuai AS.
DAMSYIK - SYRIA. Sebuah badan pemerhati yang berpangkalan di Britain mendakwa serangan udara diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria telah mengorbankan 910 nyawa.

Serangan yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu turut meragut nyawa 52 orang awam.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria, daripada jumlah orang awam yang maut, lapan adalah kanak-kanak dan wanita.

Badan pemerhati itu turut mengesahkan 72 anggota Barisan al-Nusra turut terkorban dalam serangan pada 23 September lalu.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 penduduk maut dalam konflik yang telah berlarutan selama empat tahun di Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, IS dilaporkan telah menculik 70 penduduk kampung di wilayah Nineveh di utara Iraq.

Menurut saksi, laporan dipetik dari Al-Arabiya, anggota IS menyerang hendap kenderaan dan merampas senjata mangsa.