Sunday, 22 July 2012

Ramadhan Bersama Huffaz : Rasai Derita Saudara Kita Di Syria

huffaz-uiam-01

GOMBAK, 22 Julai 2012 – Para jemaah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah berpeluang mendapat maklumat perkembangan terkini di Syria apabila seorang hafiz daripada Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia telah mengimamkan solat terawih di sini.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Journalism UIAM dengan kerjasama HALUAN Malaysia itu menjadi pembuka tirai program Ramadhan di masjid tersebut di mana lebih 3,000 orang siswa dan masyarakat setempat mendirikan solat terawih dan mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Sheikh Muhammad Anas Naji.
Pada malam 1 Ramadhan, Sheikh Muhammad Anas telah menceritakan bagaimana anak-anak Syria dibunuh dan wanita-wanitanya diperkosa dan dibunuh di hadapan suami-suami mereka. Aksi kejam dan barbarik  menjadi perkara biasa di mana orang awam dibunuh dengan menggunakan pisau dan disiksa dengan menyiat kulit badan.
Menurut Sheikh Muhammad Anas, oleh kerana mereka melalui penyiksaan ini secara berterusan selama lebih setahun setengah tanpa sebarang bantuan luar, masyarakat di Syria atau bumi barakah Syams ini terpaksa hidup dengan slogan “kami tidak perlu bantuan daripada manusia kecuali bantuan daripada Allah SWT.” “Seperti yang kita maklum, perjuangan utama kita adalah untuk membebaskan Al-Quds. Dipetik dari kata-kata Sheikh Raed Salah dan Ismail Haniyyeh, tiada pembebasan Al-Quds kecuali terbebasnya bumi Syams ini," kata beliau.
huffaz-uiam-02Sebahagian daripada jemaah terawih di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM.Beliau juga mendedahkan bagaimana rakyat Syria dipaksa supaya sujud pada gambar Bashar Al-Assad dan ada juga daripada kalangan mereka yang sujud ini dibunuh kerana dituduh sujud dengan tidak ikhlas. Terkini, ibukota Damsyik sendiri dibom sehinggakan sebuah penempatan yang terawal di Syria hancur sama sekali dan tiada bangunan yang berdiri utuh. “Di setiap kampung pasti kita akan dapati orang yang terkorban, ditawan dan juga mereka yang terpaksa lari ke negara-negara jiran iaitu Jordan, Lubnan dan Turki. Bahkan rejim Bashar hari ini menggunakan senjata kimia untuk menggempur orang awam dan menghalau mereka yang bersembunyi di dalam rumah supaya keluar mengambil udara bersih, justeru memudahkan pihak rejim untuk membunuh mereka,” ucap beliau lagi.
Di akhir tazkirah beliau, Sheikh Muhammad Anas menyeru para jemaah supaya tekad berjihad membantu rakyat Syria. “Marilah sama-sama kita menerima sepakat ulamak yang mengatakan berjihad di bumi Syams adalah fardhu ain kepada umat Islam. Jangan kita menyempitkan maksud jihad. Jihad ini adalah luas, bukan sahaja di medan tempur malahan jihad dari segi harta benda dan doa boleh dilakukan terutama di bulan Ramadhan ini. Manakala berdoa di bulan Ramadhan akan lebih dimakbulkan,” seru beliau.
Alhamdulillah, dengan kemuliaan dan rahmat bulan Ramadhan ini lebih RM10,000 berjaya disumbangkan oleh para jemaah. Sebentuk cincin emas turut diinfakkan. Semoga Allah menerima semua sumbangan dan doa ikhlas ini sebagai bekalan amal jariah dan amal soleh yang dilipat-gandakan ganjarannya sempena Ramadhan yang mulia ini.
Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia akan diteruskan sepanjang Ramadhan di seluruh negara. Orang ramai yang ingin menjemput huffaz pilihan ini ke masjid, surau, sekolah atau pejabat mereka boleh menghubungi sekretariat program di talian 03 78315741 (Pejabat Biro HALUAN Palestin) atau 013 3536723 (Syed Hassan) atau 013 3019956 (Shahrul) atau melalui emel palestin@haluan.org.my. Anda juga boleh menghubungi pejabat atau wakil cawangan HALUAN di negeri masing-masing.
Selain itu, pembaca yang ingin menghulurkan sumbangan sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini bolehlah menyalurkannya melalui akaun-akaun seperti di bawah.
Sumbangan untuk projek bantuan di Palestin:
    Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
    No Akaun - BIMB: 14-023-01-003429-2
    No Akaun - Maybank: 5644 9020 8528
Bantuan untuk misi kemanusiaan di Syria dan Somalia:
    Nama Akaun: Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
    No Akaun - Maybank: 5622 6350 2611
----------------------
Laporan Mus'ab Saari dari Biro HALUAN Palestin.