Friday, 4 September 2015

30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya - IOM

TENTERA Libya mengawasi sebilangan pendatang haram yang berjaya di selamatkan di perairan Libya. - Foto REUTERS
JUMAAT, 4 SEPTEMBER 2015 @ 6:10 PM
ROME: Sekurang-kurangnya 30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya selepas bot getah mereka karam, menurut Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM).
Seramai 91 orang yang diselamatkan pengawal pantai Itali menyatakan bot mereka membawa antara 120 dan 140 orang apabila ia mula kempis, sekali gus mencetuskan panik dan menyebabkan beberapa orang jatuh ke laut. - AFP

Kisah menyayat hati pelarian dua beradik


Kisah menyayat hati pelarian dua beradik
Kisah menyayat hati pelarian dua beradik Aylan (atas, kiri) dan Galip Kurdi.
3 SEPTEMBER 2015


BERITA penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi meruntun hati pembaca dan pelayar di laman sosial.

Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua-beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Foto Aylan tersebut dikongsi di laman Twitter dengan kapsyen 'kemanusiaan hanyut di pantai'.

"Ya ALLAH, hati saya pecah berderai melihat foto ini," kata Ena.

"Tolonglah lindungi dan selamatkan mereka semua..subhanallah," kata Sabrina.

Sementara itu, seramai lima kanak-kanak dan seorang wanita disahkan maut dalam usaha mereka menuju ke pulau Kos, Greek, lapor Reuters.

Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobani, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.

Lembaga Keselamatan Kebangsaan Turki memberitahu, hampir 100 pelarian diselamatkan oleh kapal penyelamat Turki, malam kelmarin.

Budak Syria mati lemas


Budak Syria mati lemas
Polis Turki mengangkat jenazah Aylan Kurdi yang ditemui tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum.
4 SEPTEMBER 2015

ANKARA - TURKI. Pengguna media sosial semalam digemparkan dengan penyebaran gambar mayat seorang budak lelaki yang terdampar di pesisir pantai Turki.

Gambar itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berbaju kemeja-T dan berseluar pendek tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum, seolah-olah sedang nyenyak tidur.

Kanak-kanak berkenaan adalah 12 pelarian Syria yang terbunuh selepas bot dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan ke pulau Kos di Greece.

Media Turki mengenal pasti budak lelaki itu sebagai Aylan Kurdi berusia tiga tahun.

Laporan itu menambah, ibu dan abangnya berusia lima tahun turut terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Turki berkata, dua bot membawa 23 orang itu bertolak berasingan dari Akyarlar di semenanjung Bodrum.

"Mereka yang maut termasuk lima kanak-kanak dan seorang wanita. Hanya sembilan orang sahaja yang terselamat, dua yang menggunakan jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai," katanya dalam laporan BBC.

Pihak berkuasa tidak meletakkan harapan tinggi menemui dua lagi yang masih hilang.

Di sini Aylan berakhir


Ankara: Sejak tahun lalu, puluhan ribu pelarian berkubur dalam Laut Mediterranean namun ia tidak memberi kesan kepada negara Eropah sehinggalah gambar mayat Aylan yang berusia tiga tahun terdampar di tepi pantai mencetuskan simpati pemimpin Eropah yang sudah mengambil beberapa tindakan membantu pelarian.

Gambar mayat Aylan Kurdi, yang tersebar melalui media sosial serta menjadi tajuk utama berita TV dan akhbar di seluruh dunia bagaikan menceritakan betapa terdesaknya pelarian dari Timur Tengah yang negara mereka diancam peperangan mahu melarikan diri ke Eropah.

Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.

Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam tetapi ia karam kira-kira 30 minit kemudian dekat Pulau Kos di Greece.

Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Abdullah Kurdi terselamat.

Menurut bapa Aylan, berkata bot mereka amat sarat menyebabkan ia terbalik dipukul ombak.

Abdullah berkata, kapten bot itu yang panik apabila bot kecil dilanda ombak besar, terjun ke dalam laut.

“Saya mengambil alih mengemudi bot tetapi ombak amat besar dan bot terbalik. Selepas itu saya sedar dua anak dan isteri saya sudah lemas,” katanya kepada AP.

Kesedihan dan kepiluan melihat gambar Aylan tertiarap kaku di pantai mencetuskan perbahasan dalam kalangan pemimpin Eropah yang mendesak tindakan segera diambil bagi mengatasi krisis pelarian, terutama dari Syria.

Namun, selagi perang saudara di Syria masih berterusan, ribuan rakyat negara itu akan terus menggadai nyawa setiap hari cuba ke Eropah melalui Laut Mediterranean menaiki bot nelayan yang usang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 11:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75059#sthash.xtDkPYyJ.dpuf

Kematian dua beradik buka mata Eropah

Paris: Berikutan kematian budak lelaki berusia tiga tahun dari Syria yang gambar mayatnya terdampar di pantai Turki menyebabkan Perdana Menteri Perancis Manuel Valls mendesak negara-negara Eropah mengambil langkah segera mengatasi krisis kebanjiran ratusan ribu pelarian di benua itu.
“Dia mempunyai nama. Alyan Kurdi. Tindakan segera diperlukan oleh negara-negara Eropah,” katanya melalui Twitter hari ini.
Gambar mayat Alyan yang terdampar di pantai peranginan Aegean di Bodrum, Turki, tersebar luas melalui media sosial, malah menjadi tajuk utama siaran berita televisyen dan akhbar mencetuskan simpati serta desakan pemimpin Eropah bertindak membantu pelarian.
Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam dalam perjalanan mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.
Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam. Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian bot berkenaan karam dekat Pulau Kos di Greece.
Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Kurdi Abdullah terselamat. Mayat Alyan dihanyutkan ke Pantai Ali Hoca Point di Bodrum dan ditemui hari ini.
Itali, Perancis dan Jerman sudah menandatangani dokumen mendesak peraturan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pemberian sukan politik, dikaji semula.
Canselor Jerman, Angela Merkel, meminta negara dalam EU menerima lebih banyak pelarian.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, berkata negara itu menjadi pendahulu menguruskan bantuan kepada pelarian dan sudah memperbaharui syarat suaka politik dan menyediakan 8,000 pusat pendaftaran untuk tujuan itu. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 7:30 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75032#sthash.eMmO9Rvd.dpuf

Libya selamat 104 pendatang


Tripoli: Pasukan pengawal pantai Libya menyelamatkan lebih 100 pendatang Afrika yang menaiki sebuah bot getah yang sarat dan hampir karam di perairan Tripoli semalam.

“Kami menyelamatkan 104 pendatang Afrika termasuk 14 wanita yang dalam pelayaran menuju ke Eropah.

“Majoriti mereka dari Sierra Leone dan Nigeria,” kata jurucakap pengawal pantai, Mohamad Dandi.

Ujarnya, operasi menyelamat bot berkenaan yang dikesan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Garabulli dilakukan selepas tengah malam semalam.

Menurutnya, pendatang berkenaan menaiki bot yang muat untuk membawa 35 orang.

“Bot itu hampir tenggelam akibat bocor ketika kami sampai untuk menyelamat,” jelasnya.

Media tempatan melaporkan, semua pendatang itu dilihat dihantar ke stesen tentera laut di Tripoli.

Sejak bertahun-tahun, Libya yang mempunyai garisan pantai sepanjang 1,770 kilometer menjadi transit untuk pendatang Afrika ke Eropah bagi mencari kehidupan yang lebih baik.

Ramai pendatang menuju ke pulau Lampedusa yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Libya.

Sindiket penyeludupan manusia mengambil kesempatan daripada kekacauan politik di Libya yang tercetus sejak 2011 bagi meningkatkan operasi mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75130#sthash.XY300rTV.dpuf

Eropah bertanggungjawab!

Ankara: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menyelar negara Kesatuan Eropah (EU) dan menuduh mereka menjadikan Laut Mediterranean ‘kubur’ untuk migran.
Beliau juga bertata, Eropah bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran.
“Negara Eropah yang menjadikan Laut Mediterranean kubur migran dan bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran,” katanya ketika bercakap di Ankara.
Turki memberikan perlindungan kepada kira-kira 1.8 juta pelarian Syria dan sering kali menuduh Eropah tidak melakukan secukupnya untuk berkongsi beban itu.
“Negara Eropah yang menetapkan kriteria untuk hak asasi dan kebebasan manusia tetapi kini mereka enggan melaksanakan prinsip itu.
“Kami berpendapat adalah tidak adil untuk kami sahaja memikul beban yang kini dihadapi seluruh dunia,” katanya.
Recep berkata demikian selepas imej mayat seorang kanak-kanak Syria yang terdampar di pantai negara itu tersebar di seluruh dunia.
“Mayat seorang kanak-kanak yang mati dalam bot di Laut Meditteranean dihanyutkan ke pantai kami,” katanya.
Kerajaan Turki sebelum ini berkata, pengawal pantai negara itu menyelamatkan lebih 42,000 migran di Laut Aegean sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan lebih 2,160 pada minggu lalu saja.
Sementara itu, di Paris, Menteri Luar Perancis Manuel Valls berkata, gambar kanak-kanak Syria yang mati lemas di pantai Turki itu menunjukkan perlunya tindakan segera dilakukan oleh Eropah bagi menangani krisis migran.
“Kanak-kanak itu ada nama: Alyan Kurdi. Tindakan segera perlu diambil oleh Eropah,” kata Valls dalam akaun Twitternya, semalam.
Alyan bersama-sama abangnya, Galip, lima dan ibu Rihan, mati lemas selepas bot mereka karam ketika dalam pelayaran ke Eropah untuk melarikan diri dari perang saudara di Syria.
Bapanya dilapor terselamat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:15 AM


SEORANG migran yang memaut anaknya ditahan di Bicske, Hungary, semalam. Lebih 160,000 pendatang dan pelarian tiba di Hungary tahun ini, menerusi sempadan Serbia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75132#sthash.YwiRO8mv.dpuf

Eropah dikecam enggan terima pelarian

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki, kelmarin sehingga menjadi perbualan hangat di laman sosial. AFP
ISTANBUL 3 Sept. – Beberapa keping gambar yang merakamkan mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria terdampar di pinggir pantai Turki, semalam selepas bot yang dinaikinya bersama-sama pelarian lain, karam dan menggemparkan dunia.
Gambar yang memilukan itu dirakam oleh agensi berita Dogan, menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak sudah tidak bernyawa terbaring di pesisir pantai berhampiran Bodrum, salah satu pusat peranginan utama di negara ini, sebelum mayat tersebut diambil oleh pihak polis.
Gambar itu tersebar meluas di laman sosial, sehinggakan hastag #KiyiyaVuranInsanlik atau `Kemanusiaan terdampar di pesisir pantai’ menjadi topik perbualan utama di seluruh dunia.
Imej yang menyayat hati itu turut menjadi berita utama di dada-dada akhbar utama Britain yang mengecam krisis pelarian di Eropah ketika ini.
“Jika gambar mengejutkan tentang kematian seorang kanak-kanak Syria terdampar di pantai tidak mengubah sikap Eropah terhadap krisis pelarian, apa yang dapat mengubah pendirian mereka?,” kata pengarang akbar Independent.
Akbar berkenaan kemudian mengemukakan satu petisyen menggesa Britain menerima kehadiran pelarian di negara tersebut, dengan lebih 10,000 tandatangan berjaya dikumpulkan dalam masa satu jam.
Sebelum ini, London dikritik kerana menerima kehadiran pelarian pada kadar yang sangat rendah berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-dikecam-enggan-terima-pelarian-1.131460#sthash.YQep1Sen.dpuf

13 juta kanak-kanak tiada pendidikan

gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak

Gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak Syria bermain sesama mereka di kem pelarian di sempadan Syria-Jordan berhampiran bandar Mafraq, Jordan. AGENSI
AMMAN 3 Sept. - Lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus boleh menyebabkan masa depan generasi itu lenyap, jika golongan itu tidak kembali ke alam persekolahan.
Menurut laporan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan peperangan di enam negara di rantau tersebut menyebabkan lebih 8,500 buah sekolah tidak lagi beroperasi ekoran faktor keselamatan dan keganasan.
Pengarah UNICEF untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Peter Salama yang memetik laporan itu menjelaskan bahawa situasi meruncing berkenaan berlaku ekoran risiko yang dihadapi pelajar dan guru terkena tembakan dan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk daripada serangan bom.
“Konflik di rantau Asia Barat yang berterusan menyebabkan lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, sekali gus meletakkan masa depan generasi muda ini dalam bahaya,” jelas UNICEF.
Menurutnya, kanak-kanak sekolah juga berdepan risiko ditembak ketika melintas zon peperangan semasa mahu mengambil peperiksaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.
“Bukan sahaja kerosakan fizikal berlaku terhadap sekolah akibat perang, tetapi kekecewaan turut dirasai oleh generasi muda yang melihat harapan dan masa depan mereka musnah,” katanya.
Tahun lalu sahaja, UNICEF merekodkan sebanyak 214 serangan dilancarkan ke atas sekolah-sekolah di Syria, Iraq, Libya, Palestin, Sudan dan Yemen.
Di Syria, UNICEF melaporkan, sektor pendidikan terjejas teruk disebabkan peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang sejak lebih empat tahun lalu.
Secara puratanya, satu daripada empat buah sekolah ditutup sejak konflik tercetus pada Mac 2011, mengakibatkan lebih dua juta kanak-kanak terpaksa berhenti belajar dan hampir setengah juga lagi berdepan risiko kehilangan pendidikan.
“Satu daripada serangan paling buruk berlaku di sebuah sekolah di Yemen apabila 13 guru dan empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan di sebuah pejabat guru di bandar Amran.
“Pembunuhan, penculikan dan penahanan guru, pelajar dan kakitangan sekolah berlaku secara berleluasa di rantau ini,” tambah laporan terbabit.
Di Gaza, serangan tentera Israel selama 50 hari ke Gaza pada tahun lalu, menyaksikan 281 buah sekolah di wilayah Palestin itu rosak dan lapan buah lagi musnah sepenuhnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/13-juta-kanak-kanak-tiada-pendidikan-1.131458#sthash.4e5vzzMC.dpuf