WASHINGTON: Israel melancarkan satu serangan udara di Syria menyasarkan penghantaran senjata kepada kumpulan militan Hizbullah dari Lubnan.
Serangan itu dilakukan pada waktu malam Khamis dan Jumaat, kata agensi perisikan Amerika Syarikat dan Barat yang membuat rumusan itu berdasarkan maklumat bahawa pesawat Yahudi banyak membuat penerbangan ketika itu, lapor Cable News Network (CNN).
Pada masa sama, Amerika percaya bahawa jet tempur Israel tidak memasuki ruang udara Syria untuk melakukan serangan itu.
Seorang pegawai kanan Amerika memberitahu NBC News, serangan udara itu ada kaitan dengan usaha menghantar peralatan melancarkan senjata kimia.
Tidak percaya Israel serang
CNN menyebut, pegawai berkata, mereka tidak percaya Israel menyerang kemudahan simpanan senjata kimia.
Pegawai Rumah Putih dan Pentagon enggan mengulas laporan itu.
Tetapi, Senator Carolina Selatan, Lindsey Graham dari Parti Republikan dipetik mengesahkan Israel melakukan pengeboman di Syria.
“Israel mengebom Syria malam ini,” kata Graham yang dipetik halaman berita Politico, tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.
Graham yang berkhidmat dalam jawatankuasa perkhidmatan senjata api Senat bercakap pada majlis makan malam tahunan ‘Silver Elephant’, Parti Republikan. - AGENSI