Seorang pelarian mengangkat bayinya semasa mendarat bersama berpuluh-puluh pelarian lain di Pulau Lesbos, Greece pada 14 Oktober lalu.AFP
BRUSSELS 26 Okt. – Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Balkan bersetuju melaksanakan pelan yang melibatkan 17 perkara, termasuk berhubung penempatan lebih 100,000 pelarian, yang dijangka tiba ketika musim sejuk tidak lama lagi.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker berkata, antara pendekatan yang dipersetujui pada pertemuan, di sini malam tadi adalah menempatkan pelarian berkenaan di pusat-pusat penerimaan yang dibina di laluan dari Greece hingga Jerman, yang dibina dengan bantuan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Kira-kira 50,000 pusat penempatan akan dibina di Greece dan selebihnya di laluan melalui negara-negara Balkan seperti Macedonia dan Serbia.
“Pelarian perlu diberikan layanan kemanusiaan sepanjang laluan Balkan Barat dan bagi mengelak berlaku tragedi kemanusiaan di Eropah,’’ katanya.
Pemimpin EU turut bersetuju mengerahkan 400 anggota polis ke Slovenia dalam tempoh seminggu bagi membantu negara itu menangani kemasukan pelarian.
Terdahulu, Perdana Menteri Slovenia, Miro Cerar berkata, negaranya tidak menerima bantuan secukupnya daripada negara-negara anggota EU bagi menangani kemasukan pelarian.
Persetujuan itu dicapai ketika negara-negara anggota EU berbeza pendapat berhubung bagaimana untuk menangani krisis kebanjiran pelarian di benua ini.
Canselor Jerman, Angela Merkel berkata, krisis itu merupakan ujian paling tersebar yang dihadapi oleh Eropah kini. – Reuters/AGENSI