REUTERS - GAMBAR pemandangan sebuah kem pelarian Syria di Salqin, dekat sempadan Syria dan Turki pada 26 Jun lalu.
GENEVA – Lebih empat juta rakyat Syria melarikan diri daripada perang saudara yang memporak-perandakan negara mereka untuk menjadi pelarian di rantau berdekatan, kata Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) semalam.
“Ini merupakan populasi pelarian terbesar melibatkan konflik tunggal sepanjang satu generasi,” kata ketua UNHCR, Antonio Guterres.
Tambahnya, pelarian memerlukan sokongan dunia tetapi mereka sebaliknya tinggal dalam keadaan serba daif dan pada kedana.
Agensi pelarian PBB berkenaan berkata, peningkatan mendadak ketibaan pelarian di Turki telah melonjakkan bilangan pelarian Syria di negara-negara jirannya kepada lebih 4,013,000 orang.
Pada penghujung Ogos 2014, bilangan pelarian Syria yang berdaftar berjumlah tiga juta orang, kata UNHCR sambil menambah, bilangan mereka dijangka meningkat kepada 4.27 juta menjelang hujung tahun ini.
Bilangan pelarian Syria pada masa ini adalah yang terbesar pernah ditangani UNHCR dalam satu konflik sejak hampir 25 tahun lalu selepas agensi itu membantu kira-kira 4.6 juta pelarian Afghanistan pada 1992.
Lebih 230,000 orang terbunuh di Syria sejak bantahan anti-Presiden Bashar al-Assad tercetus pada Mac 2011 yang kemudian bertukar menjadi perang saudara berbilang penjuru.
Selain jutaan pelarian yang meninggalkan Syria, sejumlah 7.6 juta warganya turut menjadi pelarian dalam negara sendiri.
Dalam perkembangan sama, UNHCR menyatakan, badan itu memerlukan dana berjumlah AS$5.5 bilion (RM20.3 bilion) pada tahun ini bagi membantu pelarian Syria tetapi memberi amaran pihaknya menerima kurang 25 peratus daripada jumlah tersebut. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0710&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3fR4sdE1r
Hakcipta terpelihara