Monday, 13 October 2014

Azmil Mustapha Bawa Anak Dalami Islam Di Syria


Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 12:33 AM
Azmil Mustapha masih lagi mendapat tawaran lakonan meskipun tidak lagi aktif di bidang tersebut.

PETALING JAYA: Bekas pelakon era 80-an iaitu Azmil Mustapha menjelaskan penghijrahannya ke negara Syria kira-kira tujuh tahun lalu bukanlah kerana merajuk dengan industri seni negara.

Sebaliknya, Azmil, 62, berkata, dia ke negara itu membawa bersama-sama empat orang anaknya iaitu Nurazalea Arifah, 24, Nor Amalia Batrisya, 23, Mohd. Bazli Zhafri, 19, dan Nur Alia Iman, 13, ke negara itu adalah untuk mencari ilmu bagi menambah pengetahuan agama Islam.

"Ketika mula mendalami agama, hati saya masih lagi berasa kosong. Kemudian saya membuat sembahyang hajat untuk mendapatkan petunjuk, dan saya diberi petanda untuk ke Syria.

"Saya membawa keempat-empat anak ke negara itu dengan poket kosong. Tetapi, Alhamdulillah perjalanan dan kehidupan kami di sana dipermudahkan.

"Jadi tidak ada istilah saya merajuk dengan dunia seni atau tidak. Cuma saya ingin mencari ilmu ke jalan Allah. Itu sahaja," katanya.

Azmil yang kini duda turut mempunyai seorang anak iaitu Nur Syamira, 28, hasil perkahwinannya yang pertama.

Tambah Azmil, selepas lima tahun di negara itu, dia berhijrah ke Pattani, Thailand untuk membangunkan sekolah agama, namun hasratnya itu tidak tercapai kerana undang-undang tidak membenarkan warga asing memiliki sebarang tanah di negara itu.
Gambar saat popular Azmil.

Hal tersebut membuatkan pelakon yang popular dengan filem Ali Setanitu  membuat keputusan untuk kembali ke tanah air.

Kata Azmil, sejak pulang ke Malaysia, dia menerima pelbagai tawaran lakonan namun menolaknya kerana menganggap ia tidak bersesuaian dengan dirinya sekarang.

"Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2005 menerusi filem Puteri Gunung Ledang, itupun tidak ramai yang menyedarinya.

"Dan kemudian, saya tidak mahu lagi berlakon. Tetapi masih lagi ada penerbit menawarkan watak pada saya. Bukannya apa, mengenai kerja-kerja lakonan, banyak perkara yang saya perlu lihat, daripada segi watak, skrip serta cara kerja produksi. Semua itu penting bagi saya," ujarnya.

Sementara itu, Azmil berkata, dia kini sedang melibatkan diri dengan sebuah stesen televisyen baharu iaitu Halal TV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menerusi saluran itu, Azmil menjadi penerbit program dan pengacara bagi program Selebritillah yang menampilkan Janet Jackson, Yusuf Islam dan beberapa selebriti muallaf antarabangsa.

Selain itu, Azmil turut menerbitkan program lain iaitu Tic Tech Tric (mengenai dunia elektrik) dan Sufi Seeker.

Semasa era kegemilangannya Azmil berjaya mencipta nama menerusi filem Mekanik sebagai pelakon utama pada 1983 arahan Othman Hafsham yang berjaya mencecah kutipan Boxoffice.

Nama Azmil terus menjadi sebutan apabila filem kisah percintaannya sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Ali Setan dan Ali Setan 2 masing-masing pada tahun 1985 dan 1986 menjadi satu fenomena ketika itu yang dilakonkannya bersama Ogy Ahmad Daud.

syria