Monday, 5 November 2012

Kereta perisai Syria masuki Bukit Golan

Kereta perisai Syria masuki Bukit Golan
Beberapa kereta perisai tentera Syria memasuki zon bebas tentera Golan.
TEL AVIV - Tiga buah kereta perisai tentera kerajaan Syria dilaporkan memasuki kawasan bebas tentera di Bukit Golan yang terletak di antara Israel dan Syria, kelmarin.

"Pasukan pertahanan Israel bagaimanapun memfailkan aduan terhadap pemantau keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berada di kawasan itu," kata jurucakap Israel.

Sementara itu, media Israel mendakwa kereta perisai itu digunakan sewaktu pertempuran di perkampungan Beer Ajam, Syria menentang kumpulan pemberontak yang cuba mengguling Presiden Bashar Al-Assad.

Secara teknikalnya, Israel dilaporkan sedang dalam peperangan dengan Syria, tetapi mengambil langkah berjaga-jaga susulan kebangkitan pemberontakan di negara itu.

Pada September lalu, beberapa butir bom mortar sesat Syria didakwa menghentam Israel menyebabkan negara itu membuat aduan kepada PBB agar mengawasi gencatan senjata sejak sekian lama antara dua negara itu.

Bukit Golan sebuah dataran strategik Syria semasa peperangan Timur Tengah pada 1967 ditawan Israel, kemudiannya diperluas lagi pada 1981 dalam gerakan yang gagal dikesan dunia. - Reuters