Wednesday, 30 September 2015

Rancangan Putin tidak tangani punca krisis Syria - Qatar


MENTERI Luar Qatar, Khaled al-Attiyah.
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Menteri Luar Qatar, Khaled al-Attiyah, berkata masyarakat antarabangsa pada dasarnya bersetuju dengan gesaan Russia bagi memerangi IS tetapi rancangan itu tidak menangani punca krisis di Syria, iaitu Presiden Bashar al-Assad.
Bercakap dalam temubual bersama Reuters, Khaled juga berkata kini masanya untuk negara Arab Teluk dan Iran mengadakan "dialog serius" dan membincangkan semua isu bagi memulihkan hubungan.
"Tiada siapa yang boleh menolak gesaan Putin untuk pakatan menentang keganasan tetapi...kita perlu mengubati puncanya. Kita percaya rejim Syria, khususnya Bashar al-Assad, adalah puncanya," katanya. - Reuters

Bukan Obama atau Hollande tentukan pemimpin Syria - Putin





PRESIDEN Russia, Vladimir Putin (kiri) bersalam dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. - Foto AP
NEW YORK: Presiden Russia, Vladimir Putin hari ini menepis saranan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Presiden Perancis, Francois Hollande agar Presiden Syria, Bashar al-Assad meletakkan jawatan.
"Saya mempunyai rasa penuh hormat kepada rakan sejawatan saya dari Amerika dan Perancis namun mereka bukan rakyat Syria dan (mereka) sepatutnya tidak terbabit dalam memilih siapa ketua pemimpin negara lain," katanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Sebelum itu, Putin dan Obama mengadakan pertemuan tertutup hampir 90 minit sempena Perhimpunan Agung PBB.
Putin juga berkata, Russia tidak menolak kemungkinan untuk terbabit dalam serangan udara bagi menyokong usaha Bashar al-Assad dalam menentang kumpulan pemberontak.
"Kami menimbangkan perkara itu. Kami tidak menolak kemungkinan. Namun jika kami melakukannya, ia dibuat secara terhormat mengikut nilai dan peraturan antarabangsa," katanya.

Assad perlu berundur jika IS mahu dikalahkan - Obama


PRESIDEN Amerika Syarikat, Barrack Obama (dua dari kiri) membuat ucapan pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau di New York, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu berundur jika kumpulan IS mahu dikalahkan ketika beliau mengajak pemimpin dunia bagi memantapkan semula kempen pakatan negara sekutu terhadap kumpulan militan itu.
Sehari selepas bertikai dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, mengenai cara menangani krisis di Syria, Obama menjadi hos sidang kemuncak menangani keganasan di PBB untuk membincangkan serangan udara ke atas pejuang IS di Syria dan Iraq yang sudah berlarutan selama setahun.
"Di Syria...mengalahkan ISIL memerlukan, saya percaya, pemimpin baharu," kata Obama pada pertemuan itu yang diadakan di sisi Perhimpunan Agung PBB.
Russia memperlekeh mesyuarat yang disertai hampir 100 pemimpin itu dengan menghantar diplomat peringkat rendah selepas Putin mencuri perhatian dengan ucapannya di PBB yang mengajak diwujudkan pakatan lebih luas bagi memerangi IS, termasuk penyertaan tentera Syria.
Kedudukan Assad adalah pertikaian utama antara Washington dan sekutu Syria iaitu Russia dan Iran ketika usaha diplomasi ditingkatkan bagi menamatkan peperangan empat tahun itu yang sudah mengorbankan lebih 240,000 nyawa.
Pada sidang kemuncak itu, Obama berkata AS sedia bekerjasama dengan Russia dan Iran untuk "mencari mekanisme politik yang memungkinkan proses peralihan kuasa dimulakan".
AS sudah sekian lama mahu Assad melepaskan jawatan tetapi Obama tidak menyatakan sama ada pemimpin Syria itu boleh mengambil bahagian dalam proses peralihan kuasa itu.
Cadangan supaya Assad berundur dalam proses peralihan kuasa dua fasa itu adalah pilihan yang sedang dibincangkan antara diplomat AS, Russia dan negara Arab Teluk.
Hari ini, Russia akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan PBB bagi menangani ancaman pengganas. - AFP

Perancis mula siasatan jenayah perang terhadap rejim Assad


PIHAK berkuasa Perancis memulakan siasatan terhadap rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad berhubung dakwaan jenayah perang yang dilakukan. - Foto AFP
PARIS: Pihak berkuasa Perancis memulakan siasatan terhadap rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad berhubung dakwaan jenayah perang yang dilakukan antara tahun 2011 dan 2013, menurut sumber.
Menurut sumber yang rapat dengan kes itu, pihak pendakwa raya Paris membuka siasatan jenayah perang itu pada 15 September.
Siasatan itu tertumpu kepada bukti yang diberikan bekas jurugambar tentera Syria yang dikenali dengan nama 'Caesar'.
Beliau berpaling tadah dan meninggalkan negara itu pada 2013 dan membawa bersama kira-kira 55,000 gambar suasana konflik kejam itu. - AFP

Orlando Bloom Gesa Pelarian dan Migran Kanak-Kanak Dilindungi


Diterbitkan: Rabu, 30 September 2015 3:44 PM
Orlando Bloom yang juga Duta Muhibah Unicef melayan kanak-kanak di pusat pelarian dan migran.

PELAKON dan Duta Muhibah Tabung kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Orlando Bloom menggesa supaya perlindungan sepenuhnya diberikan kepada ratusan ribu pelarian dan migran kanak-kanak yang cuba memasuki beberapa negara di Eropah.
Sepanjang lawatannya ke pusat pelarian dan migran berdekatan Gevgelija yang juga bekas Republik Yugoslav, Bloom meluangkan masa mendengar cerita yang disampaikan kanak-kanak malang itu.
"Pelarian dan migran kanak-kanak itu telah melalui perjalanan jauh yang berbahaya. Mereka juga menceritakan bagaimana terpaksa mengharungi perjalanan dalam cuaca buruk, berjalan tanpa kasut dengan hanya memakai pakaian yang terhad.
"Mereka juga dibawa merentasi sempadan tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi. Jika mereka selamat tiba ke destinasi sekali pun, masa depan mereka masih kabur.
"Oleh itu perlindungan dan sokongan perlu diberikan kepada mereka," katanya.
Kebanyakan kanak-kanak ini melarikan diri daripada keganasan di Syria, Afghanistan dan Iraq.
Menerusi khidmat sokongan Unicef di pusat berkenaan, kanak-kanak berkenaan mempunyai akses untuk berada di lokasi yang selamat, berehat, bermain, memperoleh makanan dan minuman, pakaian panas dalam suasana yang bersih dan dilindungi.
Orlando Bloom mendengar pengalaman Tarek yang mengharungi perjalanan menaiki bot dan meninggalkan keluarga di Damsyik  untuk Greece.
Antara yang ditemui Bloom adalah remaja berusia 17 tahun, Tarek Merry dari Syaria yang menceritakan mengenai perjalanan menakutkan ketika menaiki bot dari Turki ke Greece dan meninggalkan keluarganya di Damsyik.
Tarek meneruskan kehidupannya dengan keluarga barunya, warga Syria selepas menyelamatkan anak perempuan mereka daripada lemas dalam pelayaran itu.
Setakat ini, hampir 100,000 pelarian dan migram majoritinya wanita dan kanak-kanak didaftarkan di pusat berkenaan sejak Jun 2015.
Unicef menganggarkan sekurang-kurangnya 320,000 wanita dan kanak-kanak yang telah melarikan diri ke Eropah masih memerlukan bantuan untuk tempoh enam bulan.

Lakukan lebih baik bantu pelarian Syria


29 SEPTEMBER 2015
pelarian syria
 Pelarian Syria.
PUTRAJAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berharap umat Islam boleh melakukan dengan lebih baik bagi menangani krisis pelarian Syria.
   
Baginda bertitah sejak beberapa minggu lepas dunia telah menyaksikan nasib pelarian Syria dalam keadaan terdesak terpaksa melarikan diri ke Eropah dan sebaliknya tidak ke negara-negara Islam yang berjiran.
   
Sultan Nazrin bertitah baginda amat tersentuh apabila seorang pelarian Syria, membandingkan Canselor Jerman Angela Merkel dengan Raja Abyssinia, Negus, yang masyhur kerana memberi perlindungan kepada kaum Muslimin semasa hijrah pertama pada zaman Nabi Muhammad saw.
   
"Seorang lagi pelarian Syria berkata: "Kami akan memberitahu anak-anak kami bahawa kaum migran Syria meninggalkan negara mereka untuk datang ke Eropah sedangkan Makkah dan bumi Islam adalah lebih hampir dengan mereka," katanya.
   
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam ucapan khas bertajuk "Reclaiming Education in Muslim Universities for the 21st Century" pada Sidang Kemuncak Pemimpin Universiti Negara-negara Islam Sedunia 2015 (WICULS), di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah umat Islam perlu belajar dari sejarah mereka sendiri tentang bagaimana universiti pertama di dunia, Universiti Al-Qarawiyyin menempatkan umat Islam di Eropah apabila mereka diusir semasa penjajahan Sepanyol pada abad ke-15.
   
"Malah sesetengah daripada mereka meneruskan pengajian di sana. Hasilnya, bandar Fèz (di Maghribi) menjadi terkenal sebagai tempat berlindung bagi orang yang terpaksa berpindah dari negara sendiri pada masa itu, dan penempatan mereka berhampiran universiti di kota lama masih kekal sehingga hari ini," titah baginda.
   
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kira-kira 150,000 pelarian Syria telah mencari perlindungan di Kesatuan Eropah sejak perang saudara meletus pada Mac 2011. - Bernama

Rusia lancar serangan udara di Syria


30 SEPTEMBER 2015
Rusia lancar serangan udara di Syria


Rusia lancar serangan udara di Syria Kesan kemusnahan di Syria. - Gambar hiasan
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Rusia telah melancarkan serangan udara di Homs, Syria.

Menurut laporan Reuters, Moscow telah memberikan notis serangan udara tersebut sejam awal kepada AS, hari ini.

Menurut seorang jurucakap AS, maklumat serangan udara berkenaan adalah terhad dan tidak memberitahu jumlah serangan udara yang akan dilakukan atau jenis pesawat yang melakukan pengeboman berkenaan.

Pusat Operasi Tentera AS masih belum memberikan sebarang komen mengenai hal tersebut.