Sunday, 6 September 2015

Austria, Jerman buka pintu kepada pelarian


Austria, Jerman buka pintu kepada pelarian
Austria, Jerman buka pintu kepada pelarian Pelarian menjulang gambar Canselor Jerman, Angela Merkel ketika meninggalkan zon transit di Budapest, semalam. - Foto AFP
6 SEPTEMBER 2015


VIENNA - AUSTRIA. Austria dan Jerman bersetuju untuk menerima ratusan pelarian yang kini terkandas di Hungary.

Canselor Austria, Werner Fayman mengumumkan keputusan itu semalam selepas bercakap dengan rakan sejawatnya dari Jerman, Angela Merkel.

Berikutan pengumuman itu, Hungary mula menyediakan bas bagi membawa pelarian yang keletihan.

Laporan menyebut, bas pertama tiba di sempadan Hungary-Austria pada pagi semalam.

Khamis lalu, beratus-ratus pelarian kebanyakannya warga Syria ditahan ketika kereta api membawa mereka berhenti di Bicske, kira-kira 40 kilometer dari Budapest.

Susulan itu, sebahagian pelarian bertindak lari ke landasan kereta api bagi mengelak ditahan polis dan dihantar ke kem tahanan.

Difahamkan, mereka mula berpecah dan berarak ke Eropah Barat.

Sementara itu, Merkel berkata Jerman boleh menangani masalah kebanjiran pelarian ke negara itu tahun ini, tanpa meningkatkan kadar cukai, mahupun menjejaskan bajet seimbang negara itu.

Menurutnya, keadaan belanjawan Jerman yang seimbang memudahkan negara itu untuk menangani masalah yang berlaku tanpa disangka.

Dengan dasar undang-undang pelarian asing yang liberal, serta sumber negara yang kaya, Jerman menjadi menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menerima ramai pelarian dari Timur Tengah serta pelarian dari bahagian Tenggara Eropah.

Sekitar 104,460 pelarian memasuki negara ekonomi terbesar di Eropah itu pada bulan Ogos lalu.

Jerman menganggarkan sekitar 800,000 lagi pelarian tiba tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding tahun lalu. - Reuters

Bapa Aylan Kurdi Kembali Ke Syria


Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 12:04 PM

DAMSYIK: Kesedihan akibat kehilangan isteri serta dua anak lelakinya menyebabkan Abdullah Kurdi menolak tawaran untuk kerakyatan oleh kerajaan Kanada.
Abdullah adalah bapa kepada kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi yang terkorban dalam tragedi bot terbalik dan mayatnya ditemui di pesisir pantai Turki berdekatan sebuah resort di Bodrum pada 2 September 2015 yang tersebar di media sosial.
Selain Aylan, Abdullah juga kehilangan isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun dalam insiden menggemparkan itu.
Susulan kejadian menyayat hati, Abdullah dilaporkan telah kembali ke bandar kelahirannya di Kobani, Syria untuk mengebumikan keluarganya.
"Dia mahu ke Eropah demi kehidupan lebih baik untuk anak-anaknya. Tetapi, kini mereka telah tiada dan Abdullah memutuskan untuk terus tinggal di sini kerana mahu berada dekat dengan pusara keluarganya," kata pakciknya, Suleiman Kurdi katanya kepada Press TV.
Difahamkan, keluarga Abdullah adalah antara 12 pemohon suaka yang maut ketika cuba untuk merentasi Laut Aegean dari Turki menuju ke Pulau Kos pada Rabu lalu.
"Laut bergelora dan ombak sangat tinggi ketika itu hingga menyebabkan bot yang membawa 23 pelarian Syria termasuk kami sekeluarga terbalik. Ia berlaku terlalu pantas dan saya hanya dapat memeluk mayat mereka," katanya dalam nada sedih.
Gambar jenazah Aylan dalam keadaan kaku di tepi pantai itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mula bimbang dengan nasib kumpulan pelarian dari zon konflik di Afrika dan Timur Tengah.
Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syrian itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.

Pemimpin antiregim antara 26 maut serangan bom di Syria


PEGAWAI polis dan penyelamat serta penduduk memeriksa tapak pengeboman kereta di pinggir Swieda, Syria.
BEIRUT: Angka kematian serangan dua bom kereta yang menggegarkan pinggir bandar Sweida, Syria hari ini meningkat kepada 26 orang termasuk pemimpin terkenal antiregim Syria, Sheikh Wahid al-Balous.
"Angka kematian susulan serangan bom di pinggir Sweida kini meningkat kepada 26 orang, manakala 50 lagi cedera," kata Rami Abdel Rahman, ketua Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.
Abdel Rahman sebelum itu berkata, Sheikh Wahid al-Balous, yang sering mengkritik kedua-dua rejim iaitu kerajaan Syria dan kumpulan Islam, terbunuh dalam serangan itu ketika mangsa dikatakan sedang memandu ke arah bandar itu.
Bom kedua meledak berdekatan sebuah hospital di Dahr al-Jabal.
Agensi berita rasmi Syria, SANA dalam laporan awal menyebut, lapan orang terbunuh manakala 22 lagi cedera.
Sweida adalah bandar yang didiami kumpulan minoriti Druze yang mewakili tiga peratus daripada 23 juta penduduk di Syria.
"Balous adalah ketua kepada kumpulan Sheikhs of Dignity yang bertanggungjawab dalam melindungi kawasan Druze di Syria," kata Malek Abu Kheir, seorang wartawan dari Sweida yang mengenali Balous.
Sheikhs of Dignity adalah kumpulan militan paling kuat di kawasan itu dan mereka memerangi kumpulan Negara Islam (IS) dan serpihan Al-Qaeda Syria. - AFP