Friday, 18 March 2016

600 hari tanpa bot migran

600 hari tanpa bot migran

18 MAC 2016

 SYDNEY - AUSTRALIA. Kerajaan Australia, semalam meraikan pelan kontroversinya menghantar pulang bot pencari suaka yang disifatkan sebagai satu kejayaan selepas mengharungi 600 hari tanpa ketibaan kapal pelarian lain.
Di bawah tindakan tegas itu, pencari suaka yang cuba masuk ke Australia menggunakan bot akan dihantar pulang ke negara di mana mereka berlepas atau dihantar ke kem pelarian di pulau Pasifik.
Mereka dihalang daripada mendapatkan penempatan semula di negara tersebut meskipun pelarian adalah golongan yang dilindungi menerusi dasar kerajaan konservatif dalam usahanya untuk menghentikan kematian di laut.
Menteri Imigresen, Peter Dutton berkata, hari ini  menandakan 600 hari sejak kes terakhir penyeludupan manusia yang berlaku di Canberra dan kerajaan sangat komited untuk memastikan keadaan terus kekal seperti itu.
"Sejak bermulanya Operasi Sempadan Berdaulat pada September 2013, sebanyak 25 bot membawa 698 orang telah dihantar semula dengan selamat ke negara di mana mereka berlepas," katanya. - AFP

Kurdish isytihar sistem persekutuan


Kurdish isytihar sistem persekutuan
 Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat bersama delegasi puak dari tiga kawasan autonomi di bandar Rmeilan, semalam. 
18 MAC 2016

 DAMSYIK -  SYRIA. Tiga kawasan autonomi dikuasai puak Kurdish sebulat suara meluluskan penubuhan sistem persekutuan di utara Syria, semalam walaupun berdepan amaran daripada Damsyik dan Turki terhadap langkah sebelah pihak itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam satu persidangan di bandar Rmeilan di timur laut negara bergolak tersebut selepas puak Kurdish dikecualikan daripada pusingan baharu rundingan damai di Geneva yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik di negara bergolak itu.
Pegawai Direktorat Hal Ehwal Luar Kobani, Idris Nassan berkata, ia bakal meluaskan rangka kerja pentadbiran yang telah dibentuk oleh Kurdish dan puak lain.
"Kawasan tersebut dinamakan sebagai Persekutuan Utara Syria yang akan mewakili kesemua puak tempatan," katanya.
Menurutnya, sistem itu dipersetujui kira-kira 200 wakil dari etnik berbeza dari Rojava termasuk Unit Perlindungan Penduduk Kurdish (YPG).
Ketika ini, puak Kurdish menguasai kawasan seluas 400 kilometer di sepanjang sempadan Syria-Turki dan dari sempadan Iraq hingga Sungai Euphrates serta bahagian sempadan barat laut di Afrin.
Terdahulu, Turki menyifatkan sebarang langkah unilateral bertujuan untuk mengisytiharkan persekutuan adalah tidak sah dan Ankara hanya menyokong perpaduan dan keutuhan wilayah Syria. - Agensi

Denmark negara paling gembira, Syria sengsara


AP - IMEJ fail bertarikh 4 April 2006 menunjukkan suasana tenteram di bandar Nyhan, Denmark.


NEW YORK – Denmark diikuti rapat Switzerland, muncul sekali lagi sebagai negara paling gembira di dunia, sementara negara bergolak, Syria dan Burundi pula paling sengsara, menurut indeks global yang disiarkan kelmarin
Indeks tersebut, The 2016 World Happines Report bertujuan untuk mengukur kegembiraan sebagai antara kaedah menjadikan masyarakat lebih sihat dan efisien. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyiarkan kajian pertama seum­pamanya pada 2012.
Sama seperti 2015, Iceland, Norway, Finland, Kanada, Belanda, New Zealand, Australia dan Sweden melengkapi 10 tempat teratas indeks itu dengan tujuh daripadanya merupakan negara-negara kecil dan sederhana di Eropah Barat.
Negara paling sengsara pula ialah Burundi diikuti Syria, Togo, Afghanistan, Benin, Rwanda, Guinea, Liberia, Tanzania dan Madagascar. Indeks tersebut merangkumi 157 negara.
Membandingkan data terkumpul dari 2005 hingga 2015, laporan tersebut mendapati kegembiraan di Greece merosot paling teruk susulan krisis kewangan dan imigran yang melanda negara itu.
Kuasa besar dunia, Amerika Syarikat mengatasi beberapa negara Eropah Barat untuk muncul sebagai negara ke-13 paling gembira di dunia, meningkat dua kedudukan berbanding tahun lalu.
Jerman berada di tempat ke-16, Britain (23) dan Perancis (32), manakala beberapa negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain pula mengetepikan Itali yang menduduki tangga ke-50 diikuti Jepun kedudukan 53.
Negara paling ramai penduduk di dunia, China pula menduduki tempat ke-83, sementara demokrasi terbesar dunia, India di tempat ke-118.
Indeks tersebut diukur berdasarkan enam faktor termasuk kadar keluaran negara kasar (GDP), sokongan sosial, kebebasan sosial, kemurahan hati dan ketiadaan rasuah.
Antara 20 negara mencatat pe­ningkatan kegembiraan tertinggi kali ini termasuk Thailand, China, lapan negara bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur, tujuh di Amerika Latin, dua di kawasan Sahara serta Macedonia di rantau Balkan.
Kategori 20 negara yang mencatat kemerosotan kegembiraan tertinggi ialah Mesir, Iran, Jordan, Yemen, dan Arab Saudi (Asia Barat) diikuti Jepun serta India di Asia di samping Cyprus, Sepanyol Itali serta Greece di Eropah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz43Dwwxcbt 
Hakcipta terpelihara 

Rakaman wartawan Jepun hilang disiar


AFP - GAMBAR fail yang dirakam pada 20 April 2004 menunjukkan wartawan Jepun, Jumpei Yasuda.


TOKYO – Satu klip video mengenai seorang wartawan Jepun yang hilang di Syria muncul dengan mangsa me­minta bantuan Tokyo untuk membantu membebaskannya.
Kerajaan Jepun menyatakan semalam bahawa pihaknya sedang meneliti klip video itu yang memaparkan Jumpei Yasuda. Dia hilang sejak pertengahan 2015.
Rakaman itu dimuat naik di internet oleh seorang lelaki Syria yang tinggal di Turki. Dia berkata, Yasuda dijadikan tebusan oleh kumpulan militan, Barisan Al-Nusra di Syria, demikian menurut laporan akhbar Asahi Shimbun.
Menurut media Jepun, kumpulan militan itu meminta sejumlah wang tebusan bagi membebaskan Yasuda namun, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga membe­ritahu, beliau tidak dimaklumkan tentang wang tebusan itu.
“Kami menyedari kewujudan klip video ini dan sedang menganalisisnya,” kata Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida kepada wartawan semalam.
Rakaman selama seminit itu memaparkan seorang lelaki berjanggut memakai pakaian hitam memberitahu dalam Bahasa Inggeris: “Hello, saya ialah Jumpie Yasuda. Hari ini hari jadi saya, 16 Mac” sebelum bercakap lebih panjang.
Pada tahun lalu, militan-militan kumpulan Islamic State memenggal kepala dua wartawan Jepun, Kenji Goto dan rakannya, Haruna Yukawa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz43Dwp0KRB 
Hakcipta terpelihara