Wednesday, 13 January 2016

Rusuhan bantah pelarian

Berlin: Perusuh antipelarian mengamuk di Leipzig, selepas melakukan bantahan mendesak supaya pendatang dihantar pulang dan sempadan Jerman ditutup.
Beberapa jam selepas Canselor Angela Merkel mengakui Eropah semakin hilang kawalan terhadap krisis pendatang, kumpulan berhaluan kanan meninggalkan tunjuk perasaan aman diadakan di bandar di timur Jerman itu sebelum melakukan keganasan di bandar kecil Connewitz.
Kira-kira 250 samseng anggota LEGIDA - cawangan tempatan PEGIDA - merosakkan gerai kebab selain membakar kereta dan memecahkan tingkap kedai. PEGIDA ialah kumpulan antipelarian dan anti-Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum itu berarak membantah kehadiran pelarian.
Penunjuk perasaan yang turut menyerangb polis dengan mercun, cuba membina sekatan di tengah jalan utama menggunakan papan tanda jalan dan batu turap sebelum berjaya disuraikan.
Bomba juga dikerahkan memadamkan kebakaran di loteng sebuah bangunan akibat terkena mercun dilepaskan perusuh.
Sebuah bas membawa penunjuk perasaan yang propelarian juga diserang dan dirosakkan.
Polis berkata, 211 perusuh dikenal pasti sebagai samseng berhaluan kanan, ramai yang mempunyai rekod jenayah kerana bersikap ganas.
Jurucakap polis berkata: “Perbuatan ini mengganggu keamanan.”
Dia turut mengesahkan beberapa anggota polis cedera dalam pertempuran yang meletus akibat kemarahan susulan serangan seksual besar-besaran yang dilakukan pendatang terhadap wanita di Cologne serta di bandar Jerman lain.
Antara sepanduk dibawa penunjuk perasaan semalam tertulis kata-kata ‘Rape Refugees stay away’ (Usir pelarian perogol) yang turut memaparkan lukisan wanita yang lari dari penyerang bersenjatakan pisau.
Sebelum itu, Angela berkata: “Tiba-tiba kita berdepan cabaran dalam menangani isu pelarian di Eropah kerana masih tidak cukup aturan dan kawalan sepenuhnya seperti dikehendaki.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:23 AM


ANGGOTA pergerakan anti-Islam menunjuk perasaan di Leipzig bagi mendesak kerajaan Jerman mengusir pendatang Islam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106929#sthash.kZcqVQow.dpuf

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

Ratusan rakyat Syria perlu rawatan segera

13 JANUARI 2016

Puluhan kotak bekalan bantuan dibawa keluar dari lori di sebuah gudang di Idlib, dekat barat laut Syria. - Foto: AFP

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 400 rakyat Syria perlu segera dipindahkan dari Madaya untuk menerima rawatan perubatan.
Menurut Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usaha itu perlu selepas konvoi bantuan menyampaikan bekalan pertama ke situ.
PBB telah meminta Kerajaan Syria membenarkan 400 rakyatnya keluar dari Madaya melalui udara, di mana anggota perubatan agensi sukarela Doctors Without Borders (MSF) memberitahu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu.
"Mereka perlu dipindahkan malam ini (kelmarin) untuk dirawat dengan segera dan mahu kebenaran daripada Kerajaan Syria untuk membawa semua mangsa keluar," menurut Duta New Zealand, Gerard van Bohemen.
Sementara itu, Duta Sepanyol Roman Oyarzun berkata, 15 anggota majlis dimaklumkan oleh Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien bahawa 400 rakyat Syria berkenaan dalam kondisi yang sangat kritikal dan keadaan akan menjadi lebih buruk jika tidak dipindahkan segera.
Difahamkan, beberapa jam sebelum itu konvoi 44 trak penuh dengan bekalan makanan, susu bayi, selimut dan bekalan lain telah memasuki Madaya, yang berada dalam kepungan tentera Presiden Bashar al-Assad selama enam bulan.
Menurut PBB lagi, pihaknya menghadapi kesukaran untuk menyampaikan bantuan kepada kira-kira 4.5 juta rakyat Syria yang tinggal di kawasan sukar dimasuki termasuk hampir 40,000 di 15 kawasan dikepung. - AFP

28 mati kebuluran di Madaya


AFP - SEJUMLAH kenderaan menunggu di pinggir bandar Madaya, Syria untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang kebuluran akibat peperangan.


MADAYA – Konvoi lori pertama yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki bandar Madaya di Syria kelmarin di mana lebih 24 orang dilaporkan mati akibat kebuluran.
Bandar itu masih dikepung oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata, dua lori yang sarat membawa makanan dan selimut memasuki Madaya lewat tengah hari, manakala tiga lori lain masuk ke bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai tentera Bashar.
“Operasi bantuan sudah bermula dan dijangka berterusan selama beberapa hari. Ini merupakan perkembangan yang amat positif,” kata ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke ­Syria, Marianne Gasser.
SARC, ICRC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Prog­ram Makanan Sedunia cuba menghantar bekalan ke Madaya selepas mendapat kebenaran rejim Bashar pada Khamis lalu.
Penghantaran itu dibuat selepas masyarakat antarabangsa bimbang dan mengecam keadaan daif di Madaya apabila kira-kira 42,000 orang tinggal dalam kepungan oleh tentera kerajaan Syria.
“Selama 25 hari, kami hanya makan sup. Saya melihat seorang belia membunuh beberapa ekor kucing dan memberitahu keluarganya bahawa dia memburu arnab.
“Sebahagian penduduk menyelongkar tong sampah, manakala sebilangan lagi memakan rumput. Kami meminta makanan daripada penentang Bashar tetapi mereka enggan memberikannya,” kata seorang remaja Madaya berumur 17 tahun, Hiba Abdel Rahman.
Sejak 1 Disember lalu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran di Madaya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3x5zuuuVB 
Hakcipta terpelihara 

Syria perlu wujud perlembagaan baharu – Putin


REUTERS - ANGGOTA pertahanan awam kelihatan memeriksa bangunan yang rosak teruk selepas serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Rusia di bandar Douma, timur Ghouta, Damsyik, Syria pada Ahad lalu.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu Syria memulakan usaha mewujudkan sebuah perlembagaan baharu sebagai langkah pertama ke arah penyelesaian politik berhubung perang saudara di negara itu, namun beliau akur proses tersebut adalah sukar.
Putin sebelum ini memberi sokongan kepada rejim Pre­siden Bashar Al-Assad dengan me­lancarkan serangan udara ke atas pemberontak Syria.
Dalam satu wawancara dengan akhbar Jerman, Bild, Putin berkata, usaha ke arah perdamaian di Syria menjadi lebih sukar ekoran konfrontasi antara Arab Saudi dan Iran.
“Saya percaya pembaharuan perlembagaan diperlukan di Syria. Ia proses sukar, sudah tentu. Selepas itu, Syria perlu mengadakan pilihan raya Presiden dan Parlimen lebih awal,” kata Putin dalam temu bual itu yang diadakan pada 5 Januari lalu.
Dalam wawancara sama, Putin memberitahu, sengketa antara Arab Saudi dan Iran berhubung pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Nimr Al-Nimr oleh Riyadh pada 2 Januari lepas akan menyukarkan usaha untuk mencari jalan bagi menamatkan konflik di Syria.
“Sekiranya penglibatan kami (Rusia) diperlukan, kami bersedia melakukan apa sahaja supaya konflik di Syria dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3x5zYYaY8 
Hakcipta terpelihara 

Tunggu pengesahan identiti pengebom berani mati


KHALID ABU BAKAR (tengah) memeriksa kawalan kehormat dalam majlis perhimpunan bulanan di Bukit Aman,

KHALID ABU BAKAR (tengah) memeriksa kawalan kehormat dalam majlis perhimpunan bulanan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 12 Jan. – Polis sedang menunggu laporan rasmi mengenai pengesahan identiti dua rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman berani mati di Iraq dan Syria pada minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun sebanyak 45 peratus kemungkinan bahawa rakyat negara ini terlibat dalam insiden yang mengakibatkan kira-kira 30 orang mangsa terkorban, namun pengesahan rasmi perlu dibuat.
“Apa yang kita risau dan khua-tiri jika terdapat pihak lain yang menggunakan identiti rakyat negara kita.
“Kita akan terus memantau kegiatan kumpulan militan membabitkan rakyat negara ini kerana terdapat lagi rakyat Malaysia yang masih berada di sana, ” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri sehingga menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut minggu lepas.
Mohd. Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom dipasang pada badannya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember lalu.
Seorang lagi rakannya, Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, merupakan seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160 kilometer ke utara Baghdad, Iraq pada 3 Januari lepas.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tunggu-pengesahan-identiti-pengebom-berani-mati-1.179107#sthash.rUD5YRma.dpuf

Bantuan tiba di Madaya


Legakan lebih 40,000 penduduk yang kelaparan akibat dikepung

KONVOI kenderaan bantuan berhenti di pinggir bandar Madaya, Syria, kelmarin untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang kelaparan akibat dikepung selama enam bulan oleh tentera kerajaan. AFP
DAMSYIK 12 Jan. - Trak pertama membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki bandar Madaya yang terkepung lebih enam bulan, semalam ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ratusan penduduk di kawasan itu dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Syria, sebanyak 44 buah trak penuh dengan makanan dan pelbagai bantuan lain memasuki bandar itu yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan, lewat malam tadi.
Sebanyak 21 buah trak lagi dilihat menuju bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai kerajaan.
Wanita dan kanak-kanak yang berdepan cuaca sejuk menunggu kedatangan konvoi trak yang membawa bekalan penting di dalam pekat malam selepas enam bulan mereka dikepung tentera Presiden Bashar al-Assad.
“Kanak-kanak kami sedang kelaparan dan tubuh kami sedang menggeletar. Kami tidak mempunyai makanan mahupun roti.
“Tiada bekalan air, elektrik, mahupun pemanas badan. Kanak-kanak kami menangis sepanjang malam selepas kami tidak menemui sebarang makanan untuk diberikan kepada mereka,” kata seorang penduduk, Ghaitha Assad, 27 tahun.
Program Makanan Dunia PBB berkata, bantuan makanan itu dapat menampung keperluan lebih 40,000 penduduk dalam tempoh sebulan, manakala Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mendakwa mereka membawa bekalan ubat yang dapat bertahan selama tiga bulan.
“Saya melihat seorang remaja lelaki membunuh kucing dan membawa daging itu kepada keluarganya dengan mendakwa itu adalah daging arnab,” kata seorang penduduk, Hiba Abdel Rahman.
Hiba berkata, ada antara penduduk menguis tong sampah dan makan rumput untuk meneruskan kehidupan termasuk meminta makanan itu daripada anggota pemberontak, namun mereka menolak.
Kira-kira 28 orang penduduk Madaya dilapor maut akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu termasuk lima orang, kelmarin, menurut laporan Doktor Tanpa Sempadan yang dikenali dengan akronim Perancis, MSF.
PBB sementara itu meminta tentera kerajaan dan kumpulan penentang membenarkan sebanyak 400 orang penduduk Madaya dipindahkan dari bandar itu akibat kekurangan zat untuk diberi rawatan perubatan segera.
ICRC Syria pula menyifatkan operasi mereka di bandar itu akan memakan masa selama beberapa hari selepas melihat keadaan menyayat hati di bandar tersebut. – AFP