DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 93,000 orang dilaporkan terbunuh, membabitkan serangan oleh kumpulan militan dibantu pihak luar menentang kerajaan Presiden Bashar al-Assad bermula dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Kemanusiaan, Navi Pillay berkata, sejak Julai kira-kira 5,000 orang disahkan menjadi mangsa keganasan setiap bulan.

"Angka ini meliputi tempoh antara Mac 2011 dan akhir bulan April 2013. Namun kita tidak menafikan jumlah sebenar mangsa kezaliman manusia ini lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.

Pillay berkata, sebanyak 6,561 mangsa korban, lebih 1,729 adalah kanak-kanak berumur bawah 10 tahun maut di tangan pemberontak dan tentera kerajaan.

"Dalam laporan yang pernah dikeluarkan PBB pada Januari lalu, hampir 60,000 orang telah dibunuh sepanjang konflik seluruh Syria," katanya dipetik PressTV

Sementara itu, pada Rabu lalu, lebih 120 militan Takfiri terbunuh dalam satu pertempuran di pinggir Aleppo sejurus pasukan ketenteraan berjaya menawan semula bandar Kafar Hamra.

Sebelum itu, sebuah perkampungan Hatlah di timur wilayah Deir Ezzor telah ditawan militan serta menyebabkan lebih 60 penduduk terkorban.

Setakat ini, Bashar berkeras mendakwa Barat dan sekutunya termasuk Qatar, Arab Saudi dan Turki mendalangi kebangkitan militan yang mahu menggulingkannya sejak pertengahan Mac 2011.