Friday, 11 December 2015

Turki gesa rakyatnya keluar dari Iraq


Kesan darah dilihat selepas pengebom berani mati meletupkan dirinya berhampiran sebuah masjid Syiah di kawasan Obeidi di Baghdad, Iraq, kelmarin. Pengeboman yang didakwa didalangi kumpulan militan Negara Islam (IS) itu membunuh sekurang-kurangnya lapan orang. AFP
ANKARA 10 Dis. – Kementerian Luar Turki semalam menggesa rakyatnya yang berada di semua wilayah Iraq, selain Kurdistan segera meninggalkan negara itu berikutan peningkatan terhadap risiko keselamatan.
Kementerian tersebut turut memberi amaran kepada rakyat Turki supaya tidak membuat perjalanan ke beberapa wilayah di Iraq termasuk Basra, Najaf, Anbar dan Kirkuk.
“Kami menasihatkan rakyat Turki yang berada di sana yang tidak mempunyai urusan penting supaya meninggalkan wilayah itu secepat mungkin.
“Skop amaran perjalanan ke Iraq telah diperluas merangkumi semua wilayah kecuali Dahuk, Arbil dan Sulaymaniyah yang berada di dalam kawasan utara Kurdistan Iraq,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya.
Ankara mencatatkan peningkatan ancaman yang menjadikan syarikat-syarikat Turki sebagai sasaran termasuk pengisytiharan terhadap keganasan, penculikan dan serangan.
Kementerian Luar Turki juga menggesa rakyat Turki yang tinggal di kawasan puak Kurdis di Iraq supaya menjauhkan diri dari kawasan-kawasan berlakunya operasi ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) dan mematuhi segala amaran serta panduan yang dikeluarkan oleh pentadbiran puak tersebut.
Amaran itu dibuat ketika ke­tegangan semakin meningkat antara Ankara dan kerajaan pusat Baghdad berikutan penempatan sehingga 300 askar Turki di wilayah Iraq yang didakwa Ankara bertujuan melatih tentera Iraq bagi merampas kembali kota Mosul da­ripada kumpulan militan IS. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/turki-gesa-rakyatnya-keluar-dari-iraq-1.167709#sthash.bxqGiElk.dpuf

Berundur dari Homs


Anggota penentang Syria tinggalkan kubu kuat

Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdiri berhampiran anggota penentang kerajaan yang menunggu untuk menaiki bas bagi meninggalkan daerah Waer di Homs, Syria, kelmarin. REUTERS
BEIRUT 10 Dis. - Bas-bas yang sarat membawa penduduk Syria termasuk penentang kerajaan meninggalkan kawasan terakhir yang dikuasai kumpulan itu di Homs, semalam di bawah satu gencatan senjata tempatan yang dianggap pelik.
Homs merupakan pusat kebangkitan rakyat Syria terhadap Presiden negara itu, Bashar al-Assad sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.
Perjanjian itu bakal menyaksikan penguasaan sepenuhnya tentera kerajaan di bandar berkenaan, manakala kumpulan penentang dan keluarga mereka berpindah ke kawasan yang dikuasai kumpulan berkenaan di kawasan barat laut yang bersempadan dengan Turki.
Langkah itu dilihat sebagai contoh gencatan senjata tempatan yang didakwa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan dibuat dengan kerap.
Saksi melihat sebanyak 15 buah bas meninggalkan kawasan itu dengan Gabenor Homs, Talal al-Barazi melaporkan sebanyak 300 anggota penentang berada di dalam bas berkenaan bersama 400 anggota keluarga masing-masing.
Talal berkata, kumpulan penentang dilihat membawa senjata bersama mereka dalam perjanjian yang dilihat menyamai gencatan sebelum ini di Idlib meskipun perkara itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Beberapa buah bas meninggalkan kawasan perumahan Waer di daerah Homs awal pagi semalam dan penduduk lain beratur untuk menaiki bas di pinggir bandar.
Talal memberitahu, bas itu akan berhenti di wilayah Hama dengan kumpulan penentang boleh berhenti di kawasan berkenaan sementara konvoi tersebut akan bergerak seterusnya ke Idlib.
“Tiada lagi senjata di Waer selepas pelaksanaan perjanjian itu,’’ katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/berundur-dari-homs-1.167716#sthash.U9GZwsjy.dpuf

Penyelesaian politik mampu tamatkan krisis Syria – Raja Salman


Raja Salman
RIYADH 10 Dis. – Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman semalam meminta satu penyelesaian politik diadakan bagi menamatkan konflik di Syria yang menyebabkan pe­ningkatan keganasan dan menyaksikan beratus ribu orang terbunuh.
Portal Arab News melaporkan, Raja Salman berkata, ketika ini, Arab Saudi menjadi tuan untuk mencari satu penyelesaian politik dengan kumpulan penentang kerajaan Syria.
Beliau berkata demikian ketika majlis pembukaan persidangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di sini.
Raja Salman turut menyentuh isu-isu di rantau ini termasuk Pa­lestin, Yemen, dan keperluan untuk meningkatkan usaha meme­rangi keganasan.
Beliau menegaskan keperluan untuk negara-negara Teluk bersatu ekoran konflik-konflik yang me­landa rantau berkenaan.
Menurut laporan, pemimpin-pemimpin negara GCC juga membincangkan hubungan dengan Iran, integrasi ekonomi dan situasi di Syria, Iraq, dan Yemen selepas majlis pembukaan berkenaan.
Merujuk kepada usaha bersama mengembalikan keamanan dan keselamatan di rantau itu, Raja Salman meminta semua pihak meningkatkan usaha mengembalikan hak sah kepada penduduk Palestin untuk menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Berhubung Yemen, beliau berkata, cara untuk menyelesaikan krisis negara itu adalah melalui kerjasama dan politik.
Raja Salman
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penyelesaian-politik-mampu-tamatkan-krisis-syria-8211-raja-salman-1.167740#sthash.HPltvTBo.dpuf