Angka korban yang dikeluarkan pada Sabtu lalu oleh Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan (LCC), iaitu rangkaian aktivis akar umbi di Syria, merekodkan sebanyak 508 penduduk awam terbunuh antara 13 hingga 19 Ogos lalu, termasuk 96 kanak-kanak dan 73 wanita.
Kebanyakan mereka terbunuh dalam serangan udara dan pengeboman oleh tentera Rusia dan tentera kerajaan di Aleppo, Idlib, Damsyik dan Hama, menurut LCC.
Di bandar Aleppo di utara Syria dan di kawasan pinggirnya, sekurang-kurangnya 205 terbunuh setelah penduduk awam dijadikan perisai manusia. Penduduk awam turut terbunuh akibat terkena periuk api yang di­tinggalkan oleh kumpulan militan Daesh di bandar Manbij, kata seorang aktivis LCC, Moataz Hamouda kepada Al Jazeera.
“Tentera Syria dan Rusia juga didapati meningkatkan penggunaan senjata-senjata yang di­haram­kan,” katanya.
Banyak laporan diterima, baru-baru ini mendakwa tentera kerajaan menggunakan peluru kluster yang diharamkan oleh lebih 100 negara.
Sejak bandar terbesar Syria, Aleppo terbahagi kepada dua bahagian, dengan bahagian timur dikuasai kumpulan penentang dan bahagian barat dikuasai tentera kerajaan pada pertengahan 2012, tentera kerajaan telah bertindak melancarkan operasi untuk menawan semula kawasan yang dikuasai pemberontak, menyebabkan penduduk di bandar itu terkepung.
Staffan de Mistura, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria menggesa supaya dilaksanakan gencatan senjata selama 48 jam di Aleppo bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk yang terkepung.
Pengarah Pusat Media di Aleppo bagi Pertahanan Awam Syria, Ibrahim al-Hajj berkata, kerajaan Syria kehilangan kawasan-kawasan strategik di bandar itu terutama di al-Ramosa dan sekolah artileri, sekali gus meningkatkan serangan. – AGENSI