Tuesday, 8 April 2014

Bashar tak lagi berdepan ancaman


Beirut: Presiden Syria, Bashar al-Assad akan mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya tahun ini.

Setiausaha Agung Hizbullah, kumpulan militan Syiah Lubnan, Seyyed Hassan Nasrallah berkata, presiden itu tidak lagi berdepan ancaman untuk digulingkan.
Dia juga turut menyatakan konflik yang melanda Syria semakin berkurangan selepas berlarutan selama tiga tahun.




Kumpulan pejuang antirejim berjaya menawan sebahagian besar kawasan utara dan timur Syria yang dikuasai rejim Bashar sebelum ini.
Namun, katanya tentera rejim yang dibantu Hizbullah dapat menguasai kebanyakan kawasan di sekitar Damsyik dan pusat bandar Syria.
“Saya menjangkakan, fasa penggulingan rejim dan penaklukan negara ini sudah berakhir,” kata Nasrallah.

Dia percaya yang Bashar akan bertanding untuk penggal ketiga dalam pilihanraya presiden Julai nanti.

Nasrallah berkata, pilihan raya dijangka akan tetap diadakan walaupun konflik masih melanda negara itu.

Masyarakat antarabangsa melihat pilihan raya yang diadakan itu sebagai satu “jenaka demokrasi.”

“Pejuang tidak dapat menumbangkan rejim tetapi mereka boleh mencetuskan pergeseran. Bahaya sebenar adalah perpecahan di negara ini," katanya.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

29 terbunuh di Syria


BEIRUT 7 April - Sekurang-kurangnya 29 orang penentang kerajaan Syria terbunuh termasuk dua komander semasa mereka sedang mengisi bahan letupan untuk melancarkan satu serangan bom kereta di bandar Homs, semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, jumlah mangsa yang maut dijangka meningkat selepas banyak individu dilaporkan hilang dan serpihan anggota manusia ditemui di kawasan letupan itu.
Sebuah rangkaian aktivis, Suruhanjaya Umum Revolusi Syria, pula mendakwa letupan itu berpunca akibat bedilan roket ke atas kawasan simpanan senjata di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan berasingan di Damsyik, pertempuran sengit meletus ketika tentera kerajaan mengebom kawasan timur pinggir ibu negara ini, manakala kumpulan penentang melancarkan serangan mortar dan roket di bandar itu.
Sementara itu, helikopter tentera kerajaan menggugurkan bom tong minyak di bandar Aleppo di daerah Deraa, di utara dan daerah Latakia di barat wilayah itu. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_09/29-terbunuh-di-Syria#ixzz2yF1H6y00
© Utusan Melayu (M) Bhd