Monday, 6 July 2015

Serangan udara AS ragut 22 nyawa di bandar Raqa

Serangan udara AS ragut 22 nyawa di bandar Raqa
Asap tebal menyelubungi sebuah kawasan penempatan di Raqa selepas AS melancarkan serangan udara ke atas kedudukan IS di bandar itu.
6 Julai 2015
DAMSYIK - SYRIA. Enam orang awam termasuk seorang bayi adalah antara sekurang-kurangnya 22 yang terbunuh dalam serangan udara terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan kepada kumpulan militan IS di bandar Raqa.

Menurut kumpulan pemerhati asasi manusia di Syria, serangan udara itu dilancarkan sejak semalam dan kelmarin.

"Sebahagian besar yang terbunuh dalam serangan itu adalah pejuang IS," katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera AS, Leftenan Kolonel Thomas Gilleran berkata, serangan udara besar-besaran ini bagi mematahkan cubaan IS untuk menggerakkan tentera dari seluruh Syria ke Iraq.

IS muncul di Syria pada 2013 dan kini menguasai hampir separuh wilayah negara itu, walaupun majoriti kawasan dikuasainya adalah gurun tidak berpenghuni, lapor al-Jazeera.

Dah jadi isteri anggota IS

London: Dua daripada tiga remaja Britain yang melarikan diri ke Syria sudah berkahwin dengan anggota kumpulan Negara Islam.
Menurut Guardian, Kadiza Sultana, 16, dan Shamima Begum serta Amira Abase yang berusia 15 tahun yang meninggalkan rumah mereka Februari lalu, terbang ke Instanbul, Turki, sebelum menyeberang masuk ke Syria.
Dua daripada remaja itu menghubungi keluarga memberitahu mereka sudah berkahwin dalam majlis yang disediakan IS serta tinggal di Raqqa, Syria, iaitu kubu kuat kumpulan berkenaan tetapi akhbar itu tidak menyatakan nama mereka atas permintaan keluarga.
Peguam Tasnime Akunjee yang mewakili keluarga terbabit berkata, berita itu menyebabkan ketegangan kepada keluarga mangsa kerana memusnahkan harapan tiga remaja itu akan pulang.
Guardian melaporkan, dua remaja perempuan itu diberi katalog gambar lelaki untuk dipilih sebagai suami yang berusia 20-an.
Ketiga-tiga remaja itu belajar di sekolah yang sama iaitu Bethnal Green Academy di timur London dan dipercayai terpengaruh dengan rakan sekolah yang sudah ke Syria sebelum itu.
Empat lagi remaja perempuan dari sekolah itu sudah menerima arahan mahkamah tidak membenarkan mereka ke luar negara.
Scotland Yard percaya kira-kira 600 rakyat Britain sudah ke Syria dan Iraq kerana terpengaruh dengan IS tetapi separuh daripadanya sudah kembali. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 6:11 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62257#sthash.vpkj0mhm.dpuf

Bom di masjid ketika berbuka, 25 maut


SEORANG lelaki melihat kerosakan sebuah bangunan selepas tentera yang setia kepada Bashar menjatuhkan bom barel di Tafas, bandar Daraa, Syria kelmarin. - REUTERS


BEIRUT – Seramai 25 anggota sekutu Al-Qaeda di Syria termasuk seorang ketuanya terbunuh dalam satu letupan di sebuah masjid di utara Syria, kata kumpulan pemerhati semalam.
Pengarah Pemerhati bagi Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman memberitahu, jumlah kematian itu berkemungkinan meningkat berikutan kecederaan melibatkan berpuluh-puluh orang yang berada di tempat kejadian ketika berbuka di bandar Ariha di wilayah Idlib.
“Sebanyak 25 anggota Al-Nusra Front termasuk ketua kumpulan pemberontak itu terbunuh dalam letupan yang berlaku di masjid Salem di bandar Ariha,” ujar kenyataan kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain tersebut.
Kumpulan aktivis, Suruhanjaya Umum Revolusi Syria menyatakan, ratusan orang menghadiri majlis berbuka puasa bersama Al-Nusra Front di masjid itu sebelum letupan berlaku ketika mereka bersiap sedia untuk menunaikan solat.
“Orang awam turut terbunuh dalam letupan pada bulan suci Ramadan itu,” kata jurucakap kumpulan berkenaan tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.
Kebanyakan wilayah Idlib kini di bawah kawalan pemberontak, selepas Al-Nusra Front mengusir tentera rejim kerajaan Presiden Bashar Al-Assad dari benteng-benteng terakhir mereka.
Sehingga kini, lebih 230,000 orang terbunuh di Syria selepas protes antikerajaan meletus pada tahun 2011 sehingga mencetuskan perang saudara antara pasukan prokerajaan, pemberontak dan kumpulan Islamic State. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3f4CClqGX 
Hakcipta terpelihara 

Klip video IS bunuh puluhan tentera Syria tersebar


IMEJ rakaman video menunjukkan anggota militan Islamic State membunuh 25 tentera kerajaan Syria selepas kumpulan itu menawan kota Palmyra pada 21 Mei lalu. - AFP


DAMSYIK – Kumpulan militan Islamic State (IS) kelmarin menyebarkan sebuah klip video memaparkan berpuluh-puluh tentera kerajaan Syria dihukum mati oleh sekumpulan remaja di panggung terbuka purba di kota Palmyra.
Klip Video tersebut merakamkan pembunuhan yang dilaporkan berlaku tidak lama selepas IS menawan Palmyra pada 21 Mei lalu. Rakaman itu memaparkan 25 anggota tentera Syria ditembak mati di hadapan bendera IS.
Pelaksana hukuman mati itu rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang memakai bandana berwarna coklat.
Hukuman mati itu dilaksanakan di hadapan sejumlah kecil penonton lelaki serta beberapa kanak-kanak yang berada di tempat duduk panggung berkenaan.
IS dilaporkan melaksanakan lebih 200 hukuman mati termasuk ke atas penduduk awam di dalam dan sekitar Palmyra sejak menawan kota purba tersebut.
Hukuman mati di panggung terbuka Palmyra pertama kali dilaporkan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain pada 27 Mei lalu, hampir seminggu selepas IS menawan kota tersebut.
Ketika itu, Pengarah Antikuiti Syria, Mamoun Abdelkarim menyatakan beliau bimbang pembunuhan tersebut menandakan bermulanya kekejaman IS di Palmyra.
Setakat ini, belum ada laporan IS merosakkan tinggalan purba di Palmyra tetapi kumpulan itu telah meletupkan dan merosakkan beberapa kubur orang Islam dan memusnahkan patung purba di hadapan sebuah muzium di kota itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3f4BrA2UR 
Hakcipta terpelihara 

IS siar video 25 askar ditembak mati


rakaman video yang dikeluarkan oleh kumpulan militan IS memaparkan

Rakaman video yang dikeluarkan oleh kumpulan militan IS memaparkan sekumpukan askar Syria menjalani hukuman tembak di gelanggang teater di bandar purba Palmyra sambil disaksikan sekumpulan penduduk pada 25 Mei lalu. AGENSI
BEIRUT 5 Julai – Kumpulan militan Negara Islam (IS) semalam me­nyiarkan satu rakaman video yang memaparkan puluhan tentera kerajaan Syria ditembak mati oleh sekumpulan remaja di gelanggang teater di bandar purba Palmyra.
Rakaman video itu yang dilaporkan berlaku sejurus kumpulan tersebut menawan bandar purba itu pada 21 Mei lalu itu menunjukkan seramai 25 orang askar ditembak mati di atas pentas di hadapan bendera kumpulan militan itu.
Video itu dimuat naik di laman sosial Twitter, menunjukkan hukuman tersebut berlaku sejurus kumpulan militan berkenaan menawan Palmyra.
Ia merakamkan beberapa anggota tentera berpakaian seragam berwarna hijau dan coklat ditembak mati di atas pentas teater di hadapan bendera kumpulan IS berwarna hitam dan putih.
Petugas yang ditugaskan untuk melaksanakan pembunuhan itu kelihatan seperti kanak-kanak atau remaja yang memakai pakai­an penyamaran padang pasir.
Hukuman itu dilaksanakan di hadapan sekumpulan penonton terdiri daripada lelaki dewasa dan kanak-kanak yang menonton dari tempat duduk di gelanggang te­ater berkenaan.
IS dilaporkan melakukan lebih 200 hukuman bunuh termasuk ke atas orang awam di dalam dan di sekitar Palmyra dalam tempoh selepas militan itu menawan bandar berkenaan. – AFP/Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/is-siar-video-25-askar-ditembak-mati-1.110945#sthash.XoMFShao.dpuf