DUBAI 19 Ogos - Satu konvoi 33 buah lori sarat dengan barangan bantuan kini dalam perjalanan menuju ke Syria untuk membantu lebih 100,000 rakyat Syria yang hidup serba kekurangan ekoran perang saudara di negara itu, yang telah berlanjutan lebih dua tahun.
Konvoi bantuan kemanusiaan terbesar melalui jalan darat itu yang membawa barangan bernilai 4.4 juta dirham (RM3.9 juta) meninggalkan Pusat Kemanusiaan di Dubai untuk ke Syria, semalam dan dijangka tiba dalam tempoh 14 hari.
"Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghantar bantuan ini untuk memastikan beribu-ribu pelarian di Syria mendapat bantuan asas yang diperlukan," kata penyelaras pelarian serantau, Amin Awad.
Konvoi tersebut membawa 100,000 helai selimut, 27,900 set dapur dan 50,000 makanan dalam tin serta barangan lain.
"Ini merupakan bantuan keperluan asas," kata pegawai kanan bekalan global UNHCR, Soliman Daud.
Kira-kira 4.25 juta penduduk Syria dipercayai menjadi pelarian dan 6.8 juta orang lagi memerlukan bantuan.
"Bantuan ini merupakan antara bantuan terbesar melalui jalan darat dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Syria," ujarnya yang mengawasi gudang UNHCR di Dubai. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130820/lu_03/Konvoi-33-lori-bawa-bantuan-menuju-ke-Syria#ixzz2cVznNNjA
© Utusan Melayu (M) Bhd