Seorang budak lelaki meratap di sebelah mayat adiknya yang terbunuh April lalu.
Mayat seorang kanak-kanak dikeluarkan dari bawah runtuhan sebelum serangan udara tentera kerajaan, minggu ini.
Mayat seorang bayi dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan Julai lalu.
prevnext
New York Times
Damsyik: Mereka tidak boleh keluar bermain, tidur sering terganggu, tidak ke sekolah, makan bukan saja tidak menentu malah sering berlapar berhari-hari manakala sakit atau cedera berkemungkinan besar membawa maut kerana tiada kemudahan perubatan.
Begitulah keadaan kanak-kanak, termasuk bayi di Aleppo yang hampir musnah akibat dibedil setiap hari oleh semua pihak yang berperang di Syria dan kini dianggap padang maut.
Antara 250,000 orang yang terperangkap dalam bandar di utara Syria itu, 100,000 adalah kanak-kanak yang sentiasa menjadi sasaran pengeboman tentera Syria dan sekutunya Russia.
Kanak-kanak yang mati atau cedera parah dikeluarkan dari bawah runtuhan akibat dibom sudah menjadi kebiasaan kerana hampir setiap hari ia berlaku. Keluarga bagaikan menunggu hari bila anak, adik atau abang bakal mati.
“Mereka terperangkap, tiada cara untuk melepaskan diri. Ia antara punca kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak”, kata jurucakap pertubuhan antarabangsa Selamatkan Kanak-Kanak untuk Asia Barat, Alun McDonald.
Aleppo terbahagi dua dengan di barat dikuasai tentera kerajaan manakala bahagian timur dikuasai pemberontak. Penduduk membina sekolah bergerak dan hospital di bawah tanah untuk perlindungan namun tetap gagal menghalang kematian kanak-kanak. Kehidupan di kedua-dua bahagian sama tegang, tidak menjanjikan keselamatan seperti Julai lalu, 49 kanak-kanak maut akibat serangan mortar pemberontak.
Kebelakangan ini menurut McDonald, pengeboman oleh kerajaan dan Russia semakin hebat, menggunakan bom berkuasa tinggi menyebabkan tempat perlindungan bawah tanah tidak lagi selamat.
Tidak seperti serangan skala kecil sebelum ini, tentera kerajaan dan Russia mula menggugurkan bom penembus kubu yang boleh memusnahkan tempat perlindungan bawah tanah, malah bom kluster - bom yang mengandungi ratusan bom kecil yang letupannya meliputi kawasan luas - juga mula digunakan.
Pengeboman juga dilakukan secara rawak, kadang-kadang pada tengah malam atau awal pagi.
Separuh daripada mangsa yang dirawat di hospital sementara adalah kanak-kanak sejak gagalnya rundingan damai dan gencatan senjata selama lima minggu sebelum ini.
Minggu ini, tentera kerajaan meningkatkan serangan darat, menyerang dari empat penjuru namun ditentang hebat pemberontak walaupun disokong sekutu kumpulan bersenjata dari Iraq, Afghanistan, Iran, dan Hizbulllah (Lubnan).
Pertubuhan bantuan menganggarkan hanya ada 35 doktor di Aleppo, seorang bagi setiap 7,143 orang
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 7:56 PM