Peluru berpandu itu dipercayai sebahagian daripada yang dilancarkan serentak oleh Rusia, kelmarin, dari pada kapal perangnya di Laut Kaspia.
Serangan itu juga adalah bagi membantu kempen serangan udara selama sembilan hari yang dilancarkan oleh Rusia yang menyasarkan musuh-musuh Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Bagaimanapun, Rusia menafikan dakwaan itu dengan berkata, semua peluru berpandu Rusia mengenai sasaran.
Kementerian Pertahanan Rusia turut menyiarkan satu lakaran grafik di laman web menunjukkan semua 27 peluru berpandu Rusia melalui ruang udara Iran dan Iraq dan mengenai sasaran di Syria.
Setakat ini, Teheran masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan berkenaan.
“Mereka yang profesional mengetahui semasa operasi tersebut dilancarkan, kami telah menetapkan sasaran. Semua peluru berpandu yang dilancarkan telah mengenai sasarannya,” kata jurucakap kementerian itu, Jeneral Igor Konashenkov dalam satu kenyataan.
Serangan tentera udara Rusia malam kelmarin mengenai 27 sasaran pengganas di tengah dan utara Syria, kata kementerian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, serangan tersebut turut mengenai lapan kubu kuat IS di wilayah Homs dan 11 kem latihan IS di Hama dan Raqa.
Moscow mula melancarkan serangan udara di Syria pada akhir bulan lalu dengan mendakwa serangan itu disasarkan ke kedudukan kumpulan militan IS dan pertubuhan pengganas lain yang terlibat dalam perang saudara di Syria, sejak empat tahun lalu.
Pada masa sama pasukan tentera Syria yang disokong pergerakan Hezbollah di Lebanon terus memberi tekanan hebat terhadap kumpulan pemberontak di barat negara itu. – AFP