Monday, 24 August 2015

Angka kematian meningkat


Beirut: Angka kematian akibat pengeboman terbaru tentera Syria ke atas kubu penentang di luar Damsyik meningkat kepada 34, semuanya orang awam, termasuk 12 kanak-kanak.

Perkembangan itu didedahkan pengerusi Pemerhati Hak Asasi Syria Rami Abdel Rahman.

Menurutnya, lapan wanita juga mati dalam serangan yang dilancarkan tentera Syria di Douma, bandar yang dikuasai penentang, Sabtu lalu.

“Jumlah kematian meningkat selepas lebih banyak mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan,” kata Rami.

Sukarelawan dan pasukan pertahanan awam tempatan semalam masih berusaha mencari tujuh lagi penduduk yang dipercayai turut terbunuh.

Jawatankuasa Penyelaras Douma, kumpulan aktivis tempatan, menyiarkan nama dan gambar mangsa yang terbunuh dalam laman Facebooknya.

Satu daripada gambar itu menunjukkan seorang bayi, yang menurut kumpulan itu diselamatkan dari runtuhan kediaman keluarganya, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Dalam serangan terbaru semalam, enam serangan udara dilancarkan tentera Syria terhadap kawasan sekitar Ghouta Timur, yang juga termasuk Douma.

Bagaimanapun, belum ada maklumat mengenai kemalangan jiwa.

Pada 16 Ogos lalu, beberapa serangan udara rejim Syria menyebabkan 117 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Douma.

Ia mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Ghouta Timur dikepung sejak dua tahun lalu dan sering menjadi sasaran serangan udara tentera rejim Syria.

Perang Syria yang bermula Mac 2011 berikutan tunjuk perasaan antikerajaan, merebak menjadi konflik bersenjata yang sehingga ini sudah meragut lebih 240,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:14 AM

beberapa penduduk berusaha mengangkat mayat seorang mangsa dari runtuhan bangunan selepas serangan udara rejim Syria di Douma, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72526#sthash.XRGpVz1V.dpuf

Itali selamatkan 3,000 pendatang di Mediterranean


Itali selamatkan 3,000 pendatang di Mediterranean

24 OGOS 2015
Operasi menyelamat kumpulan pelarian di Mediterranean giat dijalankan sejak minggu lalu.

ROM - ITALI. Pengawal pantai Itali, kelmarin berjaya menyelamatkan kira-kira 3,000 pelarian di Mediterranean selepas menerima panggilan kecemasan daripada lebih 20 kapal yang hanyut di perairan Libya.

Jurucakapnya memberitahu ia adalah operasi menyelamat terbesar yang dilancarkan dalam tempoh 24 jam tanpa menerima sebarang laporan kematian.

"Dua kapal tentera laut, Cigala Fulgosi dan Vega terlibat dalam operasi tersebut. Kira-kira 900 pelarian turut diselamatkan dari dua bot kayu yang hampir karam tidak jauh dari Libya," katanya.

Sementara itu, polis di Palermo, Sicily mengesahkan mereka telah menahan enam warga Mesir dipercayai anggota sindiket pemerdagangan manusia susulan operasi menyelamat pada 19 Ogos lalu.

Maklumat diperoleh daripada kira-kira 432 pelarian mendapati kapal tersebut membawa muatan berlebihan sebanyak 10 kali ganda daripada had dibenarkan dan golongan wanita serta kanak-kanak turut dikunci di bawah dek.

Selain itu, mereka juga terpaksa membayar 2,000 euro (RM9,520) kepada sindiket untuk perjalanan dari Mesir ke Itali. - AFP