Monday 14 December 2015

16 maut dalam serangan bom kereta di Homs

Beirut: Satu serangan bom kereta berhampiran sebuah hospital di bandar Homs semalam menyebabkan sekurangnya 16 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, kata badan pemantau.
Serangan berlaku beberapa hari selepas kerajaan meluaskan kawalan di barat bandar itu dengan satu gencatan senjata di Waer, lokasi terakhir dikuasai penentang di Homs.
Kumpulan penentang dan sebilangan orang awam meninggalkan Waer, manakala bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan itu.
Kumpulan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, sebuah bom kereta meletup berhampiran hospital di al-Zahra, timur Homs.
Beberapa minit selepas letupan itu, satu balang gas meletup menyebabkan beberapa orang cedera terkena serpihan besi.
Agensi berita SANA melaporkan, kereta itu mungkin membawa bom seberat hampir 150 kilogram.
Letupan kuat itu menyebabkan sekurang 16 orang maut dan puluhan lagi cedera.
Bangunan berhampiran kawasan serangan hampir runtuh dan kereta yang diletakkan di jalan raya terbakar.
Sehingga kini tiada pihak atau kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:08 AM


PENDUDUK berkumpul di lokasi serangan bom kereta di Homs, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99857#sthash.98tAacPf.dpuf

Guru besar antara 28 maut

Beirut: Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh dalam serangan di kubu kuat penentang kerajaan termasuk berhampiran sebuah sekolah di timur Damsyik, semalam.
Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) Rami Abdel Rahman berkata, roket dilepaskan di Douma dan Saqba. Katanya, tidak jelas sama ada serangan dilancarkan pesawat pejuang Russia atau Syria.
“Salah satu serangan membedil sekolah yang mengakibatkan guru besarnya terbunuh,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan terbunuh manakala tiga lagi cedera di Damsyik, lapor agensi berita kebangsaan SANA.
Kumpulan aktivis tempatan di Douma berkongsi di Facebook gambar bangunan yang rosak teruk dan kanak-kanak yang cedera terbaring di kawasan dijadikan klinik sementara. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:02 AM


SEORANG budak dirawat di hospital sementara selepas cedera dalam serangan udara oleh tentera kerajaan Syria di Douma.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99989#sthash.exnVX0AZ.dpuf

Pasukan Petugas Khas Saring Kemasukan Pelarian Syria - KDN



Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2015 8:45 PM

KUALA LUMPUR: Saringan kemasukan 3,000 pelarian Syria ke Malaysia akan dilakukan sebuah pasukan petugas khas diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha mengekang ancaman militan dan pengganas.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata itu antara langkah keselamatan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan pelarian tersebut bebas daripada idelogi keganasan dan tidak menggugat keamanan negara.
Beliau berkata pasukan petugas itu telah menetapkan proses saringan dan tapisan keselamatan yang ketat dalam memastikan pelarian tidak membawa masuk sebarang fahaman dan ideologi keganasan yang kini menular di seluruh dunia.
Masir berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi kementeriannya di Dewan Negara, Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan dasar kerajaan untuk memberi perlindungan kepada 3,000 rakyat Syria yang menjadi mangsa perang dan konflik di negara mereka.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberitahu Dewan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan ditambah.
Ini jelasnya bagi membolehkan agensi itu melakukan lebih banyak rondaan  untuk mencegah pencerobohan kapal-kapal asing seperti kapal pengawal pantai China di kawasan Beting Patinggi Ali, kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram, Sarawak. 
Shahidan berkata APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga akan mengadakan rondaan secara berterusan sejak pencerobohan di kawasan perairan milik Malaysia di Laut China Selatan itu mula dikesan pada 4 September 2013.
Menurutnya Malaysia juga mengambil pendekatan secara diplomatik dengan China bagi mengatasi masalah pencerobohan tersebut yang berpunca daripada tuntutan bertindih di kawasan perairan berkenaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Jamil Khir berkata prosedur penyaluran bantuan zakat akan dipermudahkan bagi membantu golongan gelandangan.
"Prosedur yang ditetapkan ialah pemohon mempunyai alamat rumah, bil air dan elektrik. Walaupun tidak mempunyai alamat rumah, kita tetap akan cuba memberi bantuan yang sepatutnya seperti wang dan makanan.
"Prosedur yang kita buat ini untuk memudahkan pengurusan wang dilakukan dan bukannya sewenang-wenangnya kita serah tanpa usul periksa kerana ada segelintir pemohon seperti gelandangan ini tumbuh setiap hari, hilang dan muncul bila-bila masa," katanya.
Bagaimanapun, katanya dalam usaha untuk membantu mereka, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bekerjasama dengan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO).
"Surat pengesahan bergelandangan yang dikeluarkan daripada NGO ini turut diguna pakai oleh Baitulmal MAIWP dalam menawarkan bantuan secara bulanan kepada gelandangan yang layak dengan keutamaaan kepada yang berkeluarga.
"Baitulmal MAIWP juga telah menyediakan rumah transit bagi menempatkan gelandangan ini secara sementara sebelum bantuan zakat dapat disalurkan kepada mereka," katanya.
Persidangan bersambung esok.-- Bernama