Friday, 7 October 2016

Rusia Beri Amaran Tembak Pesawat AS Di Syria


Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 1:13 PM

Sistem pertahanan S-300 yang dihantar ke Syria untuk melindungi tentera kerajaan dan kepentingan Rusia. - AGENSI

DAMSYIK: Rusia memberi amaran untuk menembak jatuh jet pejuang tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) jika cuba melancarkan serangan udara ke atas kedudukan tentera Syria.
Amaran itu disuarakan sendiri oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mengarahkan sistem peluru berpandu permukaan ke udara jenis S-300 dan S-400 ditempatkan di Syria bagi melindungi tentera pimpinan Presiden Bashar al-Assad dan kepentingan Moscow di negara bergolak tersebut.
Putin seperti dilaporkan portal Rusia Today berkata, senjata tersebut turut memiliki keupayaan menyerang pesawat, helikopter atau drone yang tidak dikenali jika memasuki radius serangan.
Dalam perkembangan sama, Moscow berkata, kerahan sistem pertahanan itu dilaksanakan bagi melindungi anggota Pusat Perdamaian Rusia di Syria yang sedang menjalani misi menghantar bantuan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Jeneral Igor Konashenkov berkata, sebarang serangan udara atau peluru berpandu di kawasan yang dikuasai kerajaan Syria merupakan ancaman jelas kepada askar Rusia.
"Krew sistem pertahanan udara Rusia tidak mempunyai masa untuk mengenalpasti pihak mana yang melakukan serangan udara.
"Jadi mana-mana jet yang berada dalam lingkungan radar sistem ini akan ditembak jatuh," katanya.
Kenyataan Konashenkov itu dipercayai merujuk kepada dakwaan laporan yang menyatakan Washington mempertimbangkan serangan ke atas tentera Syria.
Bulan lalu, tentera bersekutu AS menyerang kedudukan kerajaan Syria menyebabkan 83 askar terbunuh.
Washington mengakui serangan itu sebagai satu kesilapan tetapi Damsyik menyifatkan insiden terbabit sebagai kesalahan yang dilakukan secara terang-terangan.