Wednesday, 23 December 2015

Lebih 650 pendatang diselamatkan

ROME: Lebih 650 orang diselamatkan di perairan Mediterranean dan satu mayat ditemui ketika pendatang terus cuba menyeberang ke Eropah dalam cuaca sejuk, kata pengawal pantai Itali.
Pengawal pantai negara itu menyelamatkan 360 orang dari tiga bot kecil manakala bot pertubuhan kebajikan, Doctors Without Border's, Bourbon Argos menemui 96 dan 95 lagi pendatang dari bot yang belayar dari perairan Libya.
Tentera Laut Itali berkata, kapalnya berjaya menyelamatkan kira-kira 100 pendatang dan menemui satu mayat.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih satu juta pendatang dan pelarian sampai ke Eropah tahun ini termasuk lebih 970,000 orang yang sanggup menyabung nyawa untuk menyeberang Lautan Mediterranean.
Sementara itu, Pertubuhan Pendatang Antarabangsa berkata, seramai 3,692 pendatang sama ada mati atau hilang ketika menyeberangi Lautan Mediterranean tahun ini. - AFP

9 Pelajar Maut, IS Serang Sekolah Di Syria


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 6:37 PM

BEIRUT: Kumpulan militan Negara Islam (IS) melancarkan serangan ke atas sebuah sekolah di timur Syria pada Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan pelajar maut dan mencederakan kira-kira 20 orang, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Media Syria melaporkan sembilan pelajar perempuan terbunuh dalam insiden itu di kawasan di bawah pentadbiran kerajaan di bandar Deir al-Zor.
Kumpulan pemerhati itu berkata, angka kematian mungkin meningkat dan ramai yang terbunuh dan cedera dalam siri serangan di Deir al-Zor sejak berbulan-bulan lalu.
Sekolah sering menjadi sasaran keganasan di Syria. 
Menurut kumpulan pemerhati, terdapat serangan udara di sebuah sekolah dan beberapa kawasan lain dikuasai pemberontak di pinggir Damsyik pada minggu lalu mengakibatkan ramai terbunuh. - Reuters

Lebih Sejuta Migran Masuk Eropah


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 10:12 PM

LEBIH sejuta migran memasuki Eropah tahun ini dengan bilangan itu lebih empat kali ganda berbanding pada 2014.
Portal Mail Online melaporkan bahawa separuh daripada jumlah itu merupakan warga Syria yang melarikan diri daripada negara mereka yang dilanda peperangan, 20 peratus lagi adalah Afghanistan dan tujuh peratus dari Iraq.
Lebih 800,000 migran memasuki Eropah melalui jalan laut di Greece manakala 3,700 meninggal dunia atau hilang semasa merentasi laut Mediterranean.
Angka berkenaan didedahkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Migran (IMO) dengan lebih sejuta migran dicatatkan pada Isnin.
Menurut IMO, Lebih 820,000 migran memasuki Greece dari Turki, termasuk lebih 455,000 dari Syria dan lebih 186,000 dari Afghanistan.