Monday, 9 February 2015

Rampas pasport halang wartawan ke Syria

Tokyo: Jepun semalam merampas pasport seorang wartawan yang merancang ke Syria beberapa hari selepas pembunuhan kejam dua tawanan negara itu oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ini kali pertama Tokyo mengambil tindakan seumpama itu atas alasan mahu melindungi pemegang pasport terbabit.
Media Jepun melaporkan, kementerian luar merampas pasport milik jurugambar bebas Yuichi Sugimoto, Sabtu lalu.
Sugimoto, 58, merancang memasuki Syria pada 27 Februari ini untuk membuat liputan di beberapa lokasi termasuk di kem pelarian.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai perancangan memasuki kawasan dikawal IS.
“Seorang pegawai dari bahagian pasport kementerian luar datang mengambil pasport saya.
“Apa terjadi dengan hak saya untuk mengembara dan kebebasan media?” soalnya.
Tindakan itu berikutan pembunuhan dua rakyat Jepun, Haruna Yukawa dan wartawan Kenji Goto oleh IS, baru-baru ini. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:08 AM


SEORANG wanita menyalakan lilin bagi memperingati dua tawanan Jepun, Kenji Goto dan Haruna Yukawa, yang dibunuh IS.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29574#sthash.d7rhyt39.dpuf