Monday, 8 February 2016

Turki siap terima puluhan ribu pelarian baru

Oncupinar: Turki semalam bersiap sedia untuk menerima ketibaan baru ribuan pelarian yang melarikan diri dari serangan besar-besaran tentera Syria yang disokong Russia.
Puluhan ribu penduduk Syria berada berhampiran pintu sempadan negara itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, kira-kira 20,000 orang kini berada di pintu sempadan Bab al-Salam dengan harapan untuk memasuki Turki yang setakat ini sudah menempatkan lebih dua juta pelarian dari negara jirannya yang bergolak itu.
Kumpulan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi pula berkata, 40,000 orang dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak Isnin lalu.
Pihak berkuasa Turki berusaha mewujudkan kawasan di antara kem pelarian yang sedia ada di sepanjang sempadan dengan Syria bagi menempatkan pelarian yang akan tiba itu.
Pejuang penentang Bashar dan kira-kira 350,000 orang awam masih berada di bandar Aleppo yang menjadi sasaran serangan besar-besaran tentera Syria dengan bantuan serangan udara Russia.
Beberapa trak kelmarin dilihat membawa khemah ke kem pelarian berhampiran pintu sempadan itu.
Sekurang-kurangnya empat trak bantuan juga dilihat kembali ke Turki selepas menghantar bantuan makanan kepada pelarian di sebelah sempadan Syria.
Lembaga Pengurusan Bencana dan Darurat Turki (AFAD) berkata, ia sudah membuat persiapan terakhir untuk menghadapi kebanjiran baru pelarian.
Negara itu berdepan dengan keadaan serupa pada 2014 apabila 200,000 pelarian melarikan diri dari Kobane, bandar Kurdis di sebelah Turki selama tiga hari berturut-turut apabila kumpulan Daish dan militan Kurdis Syria bertempur. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:07 AM


PENDUDUK memeriksa kerosakan pada sebuah bangunan selepas tentera Syria melancarkan serangan di kawasan kejiranan al-Sakhour, Aleppo, Syria, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113143#sthash.3nmmJpse.dpuf

Di ambang Perang Dunia

Arab Saudi: Perkembangan terbaru yang membimbangkan kini berlaku di Syria dengan beberapa negara lagi mengumumkan akan menghantar tentera ke negara itu, untuk menyokong kumpulan yang bertentangan.
Penganalisis kini khuatir, pertumpahan darah yang berlaku di Syria sejak 2011, yang kini lebih lama berbanding Perang Dunia Pertama, akan merebak menjadi perang serantau besar-besaran.
Arab Saudi mengancam mengerahkan tentera daratnya ke Syria sementara laporan perisikan menunjukkan Turki juga bersedia untuk melancarkan serangan.
Dalam pada itu, laporan dari Kiev menyatakan, Ukraine turut menimbang menghantar tenteranya.
Sekiranya tentera negara berkenaan bertempur dengan askar Russia dan Iran yang sudah sedia berada di Syria, Pertubuahan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mungkin terheret ke kancang bayangan Perang Dunia Ketiga.
Kebanyakan pakar tentera melihat konflik itu sebagai perang proksi antara Arab Saudi yang berfahaman Sunni dan disokong Amerika Syarikat di satu pihak dan Iran yang berfahaman Syiah, disokong oleh Russia di satu pihak lain.
Perang saudara yang berlaku di Yaman juga adalah pergelutan kuasa baru untuk menguasai Asia Barat.
Bagaimanapun, Perang Dingin baru ini akan menjadi teramat ‘panas’ jika tentera Saudi bertempur dengan askar Iran di medan perang.
Ada laporan mendakwa Arab Saudi sudah memperoleh atau cuba memperoleh senjata nuklear untuk ‘pertempuran terakhir’ dengan musuh ketatnya itu.
Felo penyelidik di Henry Jackson Society, Tom Wilson berkata: “Perang proksi antara Arab Saudi dan Iran meningkat secara mendadak. Kenyataan Saudi untuk mengerahkan tentera ke Syria mungkin satu ancaman sahaja bagi memaksa Barat mengambil tindakan lebih serius di Syria.
“Tetapi, jika Saudi benar-benar menghantar tenteranya ke Syria, ini akan menjadi pembukaan pertempuran baru yang boleh merebak menjadi konflik serantau besar-besaran.”
Russia mendakwa, berdasarkan gambar yang dirakam dari udara mendedahkan Turki sudahpun menghimpunkan tenteranya untuk melancarkan serangan ke atas Syria.
Sekumpulan rakyat Turki sudahpun menyertai pertempuran di Syria, memerangi tentera rejim Bashar al-Assad dan ada yang terbabit dalam keganasan bersama kumpulan Daish.
Kumpulan ultranasionalis negara itu, ‘Serigala Putih’ yang berjuang untuk melindungi bangsa Turki yang tinggal di utara Syria dan bercita-cita mengembalikan pemerintahan Empayar Uthmaniah juga terbabit dalam pertempuran menentang tentera Syria dan askar Russia.
Permusuhan antara Russia dan Turki memang sudah wujud sejak ratusan tahun lalu.
Turki kini ialah anggota NATO dan jika negara itu bertempur, seperti yang hampir berlaku selepas Ankara menembak jatuh sebuah pesawat pengebom Russia tahun lalu, Amerika Syarikat dan Britain bertanggungjawab membantu Turki.
Ukraine juga dikatakan sudah merangka rancangan menghantar askarnya memerangi Daish di Syria. Negara itu yang bertindak sebagai penampan antara Eropah dan Russia sudahpun terbabit dalam perang saudara dengan pemberontak yang disokong Russia di negara sendiri.
Jika askarnya bertempur dengan Russia di Syria, semuanya boleh berlaku. Lebih-lebih lagi NATO juga menyokong Ukraine.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:07 AM


BERMUSUHAN...(dari atas kanan, ikut pusingan jam) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Raja Arab Saudi, Salman, Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Presiden Russia, Vladimir Putin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113145#sthash.E6peTth1.dpuf

Turki buka sempadan 'jika perlu'

Oncupinar (Turki): Turki bersedia ‘jika perlu’ untuk membenarkan puluhan ribu pelarian Syria yang terperangkap di sempadannya memasuki negara itu, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Puluhan ribu rakyat Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke sempadan Turki sejak Jumaat lalu dari bandar Aleppo di utara Syria, berikutan serangan besar-besaran tentera rejim Bashar al-Assad yang disokong Russia.
“Rejim Bashar sudah mengepung sebahagian Aleppo. Turki turut terancam. Jika mereka sampai ke sempadan negara kami, kami tiada pilihan lain. Kami akan membuka pintu untuk saudara kami,” kata Recep sebaik tiba dari Senegal, semalam.
Suleyman Tapsiz, gabenor Kilis, wilayah Turki di sempadan dengan Syria, berkata, Turki yang sudah menempatkan antara dua hingga 2.5 juta pelarian Syria, kini memberi bantuan kepada 30,000 hingga 35,000 pelarian yang berhimpun di Azaz, bandar sempadan sebelah Syria. Mereka tiba di bandar itu dalam tempoh 48 jam.
Seramai 70,000 lagi mungkin menuju ke sempadan negara itu jika serangan udara tentera Russia dan kemaraan askar rejim berterusan di Aleppo, katanya.
Pintu sempadan Oncupinar di Turki, yang berdepan dengan Bab al-Salama di Syria, masih ditutup kepada ribuan pelarian yang berhimpun di situ, untuk hari ketiga semalam, kata wartawan AFP.
“Bagaimanapun, sempadan itu masih dibuka untuk kes kecemasan. Tujuh orang yang cedera dibenarkan memasuki pintu sempadan pada Jumaat dan seorang lagi kelmarin untuk di rawat di hospital negara ini.”
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata, negaranya akan membiarkan ‘dasar sempadan terbuka’ untuk pelarian Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:55 AM


PELARIAN Syria menanti makanan berhampiran kem pelarian di Bab Al-Salama, yang bersempadan dengan Turki, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113354#sthash.Vke6icTl.dpuf