Beirut: Presiden Syria Bashar al-Assad semalam mengumumkan dia akan bertanding semula dalam pilihan raya dijadualkan Jun ini, sekali gus mengetepikan desakan penentangnya agar dia berundur bagi membolehkan kemelut berpanjangan di negara itu berakhir.
Bashar menghantar borang pencalonannya ke Mahkamah Perlembagaan Syria dalam proses disifatkan ramai sebagai “jenaka demokrasi” disebabkan dia adalah punca tercetusnya konflik yang melanda sejak tiga tahun lalu. Bashar menjadi individu ketujuh mencalonkan diri dalam pemilihan presiden yang buat pertama kali diadakan dengan ramai calon menawarkan diri. Namun, tiada seorang pun calon terbabit dilihat mampu mengakhiri penguasaan keluarga diktator itu sejak empat dekad lalu.
Pengumuman mengenai penyertaan Bashar dibuat di parlimen oleh Speaker Mohammad al-Laham yang membacakan pencalonan dihantar presiden itu.
Surat pencalonan itu bertulis: “Saya, Doktor Bashar Hafez al-Assad ingin mencalonkan diri saya bagi jawatan presiden republik ini dan berharap parlimen mengesahkannya.” Dalam kenyataan yang dikeluarkan beberapa minit selepas pencalonannya diumumkan, Bashar berharap semua pihak bertenang.
“Sebarang reaksi kegembiraan oleh penyokong mana-mana calon perlu dilakukan secara bertanggungjawab,” katanya.
Media negara itu memetik kenyataan Bashar yang menggesa rakyat Syria agar tidak bertindak melulu.
“Ini kerana kita berada dalam suasana pilihan raya yang diadakan buat kali pertama di negara ini dalam sejarah modennya,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29